- Iklan -
Berita

Azmin tegaskan pendirian terus komited dengan Bersatu

Beliau berkata idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jatidirinya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan akan terus komited dalam perjuangan Bersatu, menjawab khabar angin mengatakan beliau bakal keluar dari parti itu.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu merupakan jatidirinya.

“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota Bersatu untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat,” katanya.

Azmin dan Zuraida merupakan antara pemimpin kanan PKR yang keluar dari parti itu pada 2020 untuk menyertai Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

Mereka berdua dilantik menduduki Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti itu.

Bagaimanapun, pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Zuraida berkata akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi berbincang mengenai peletakan jawatan itu selain kedudukannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Dalam pada itu, Azmin berkata citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif adalah bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu dalam mendepani cabaran semasa.

“Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.”