- Iklan -
Berita

‘Monster’, ‘young boy’: Bekas pengurus UKSB jelaskan kod nama untuk Zahid dalam lejar

David Tan Siong Sun berkata beliau menggunakan kod nama tersebut dalam lejar itu kerana bimbang ia mungkin didedahkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi disambut ketika tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi disambut ketika tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Seorang bekas pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa perkataan “monster”, “young boy” dan “yb” dalam buku lejar syarikat itu merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa menjawab soalan timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berhubung buku lejar UKSB yang timbul dalam perbicaraan kes rasuah Zahid.

Buku lejar tersebut mengandungi butiran pembayaran oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

Ketika ditanya sama ada Tan meletakkan nama Zahid dalam lejar tersebut, saksi itu menjawab: “Tidak.”

Tan yang merupakan saksi pendakwaan ke-17, berkata beliau menggunakan beberapa kod seperti “z”, “zh”, “yb”, “young boy”, “mon” dan “monster” untuk merujuk Zahid.

“Sebab saya menggunakan nama kod ‘monster’ kerana pada (masa) saya masukkan ke dalam lejar, saya sedang makan keropok Mamee Monster,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, bekas pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah bahawa perkataan seperti “KJ” merujuk bekas menteri belia dan sukan serta “bomoh” merupakan antara beberapa kod yang direkodkan dalam lejar UKSB.

Dalam pada itu, Tan turut berkata dia menggunakan nama kod itu kerana bimbang lejar itu terdedah dan diketahui oleh orang lain.

Raja Rozela: Adakah sesiapa (yang lain) tahu tentang nama kod tersebut?

Tan: Tiada siapa tahu, hanya saya.

Ketika membaca kenyataan saksi, Tan turut berkata rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Zahid dari 2014 hingga 2018 disimpan sebagai rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat dalam transaksi tersebut adalah besar.

“Saya menyediakan lejar menggunakan Microsoft Excel pada komputer peribadi saya. Saya bukan dilatih sebagai seorang akauntan, jadi lejar itu hanya rekod mudah bagi keluar masuk wang (syarikat),” katanya.

Beliau menambah antara perkara utama yang dicatatkan dalam lejar tersebut adalah jumlah wang yang ada bagi setiap bulan, jumlah pengeluaran, dan nama atau nama samaran bagi penerima wang.

“Individu yang dinamakan dalam lejar itu termasuk menteri, ahli politik dan kakitangan kerajaan.

“Biasanya, saya akan masukkan catatan setiap hari, namun pada waktu saya sedang sibuk, saya akan catat pada kertas terlebih dahulu sebelum memasukkan butiran dalam lejar atau masukkannya pada hari esoknya,” katanya.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB ketika menduduki jawatan menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan sistem visa luar negara (VLN), selain bagi meneruskan kontrak membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dalam tujuh pertuduhan lagi, beliau didakwa memperoleh S$1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama di mana ia mempunyai kaitan dengan jawatan rasminya ketika itu.

Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa diteruskan.