Saturday, July 2, 2022

Keterlaluan bincang tarikh PRU15 ganggu kestabilan politik, kata Ismail

Perdana menteri berkata kerajaan sedang menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara.

Other News

Tindakan terlalu membincangkan bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat termasuk berkaitan kenaikan harga barang yang dipengaruhi ekonomi global.

“Politik negara masih stabil, kita sekarang tumpu kepada pulihkan ekonomi termasuk kenaikan harga barangan dan (isu) bekalan yang kini merupakan fenomena global.

“Kalau terlalu bincang bila PRU15, ia akan memberi kesan kepada kestabilan politik. Kita akan bincang soal ini (PRU15) lebih daripada soal urus negara,” katanya pada sidang media selepas menaiki tren MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral hari ini.

Beliau berkata walaupun masalah ekonomi merupakan isu global, namun kerajaan mahu memberi tumpuan terhadap isu itu supaya kesan kepada negara tidak terlalu teruk.

Ismail mengulangi kenyataan bahawa tiada mana-mana perdana menteri akan membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu pertemuan dengan Zuraida Kamaruddin akan diadakan minggu depan bagi membincangkan kedudukan bekas pemimpin Bersatu itu sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Ismail berkata setakat ini jawatan Zuraida masih kekal sehingga beliau sendiri mengesahkan berhenti daripada Kabinet atau diberhentikan.

“Setakat ini Zuraida kekal sebagai menteri dan bertugas seperti biasa. Semalam, dia masih menghadiri mesyuarat Kabinet,” kata perdana menteri.

Ismail berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan akan berjumpanya selepas pertemuan dengan Zuraida.

Selasa lepas, Muhyiddin berkata pihaknya menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail bagi membincangkan kedudukan Zuraida yang pada 26 Mei mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 pada Mei 2018 oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin.

Beliau dilantik ke portfolio menteri perusahaan perladangan dan komoditi selepas Ismail memegang jawatan perdana menteri.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles