- Iklan -
Berita

Bekas pengurus UKSB jelaskan bagaimana beg berisi RM3 juta diserah kepada Zahid

David Tan Siong Sun berkata wang dihantar ke kediaman rasmi bekas timbalan perdana menteri itu di Putrajaya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Seorang bekas pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagaimana dia menyerahkan beg mengandungi RM3 juta kepada Ahmad Zahid Hamidi di Seri Satria, Putrajaya.

Bagaimanapun, David Tan Siong Sun, 47, berkata, dia tidak ingat tarikh penghantaran wang itu dilakukan namun ia merupakan kali kedua dia menjejakkan kaki ke kediaman rasmi bekas timbalan perdana menteri itu sambil ditemani bekas pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun.

Tan berkata demikian semasa disoal timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran bagaimana dia menghantar wang itu kepada Zahid.

Katanya, dia memasukkan wang RM3 juta itu ke dalam sebuah beg beroda dan meninggalkannya di ruang tamu.

Ketika ditanya mengenai penghantaran wang pada kali pertama, Tan menjawab: “Saya pergi ke rumah Zahid bersama Wan Quoris Wan Abdul Ghani (bekas pengarah UKSB).”

“Kami masuk ke ruang tamu (rumah Zahid), dan kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan hal politik. Selepas itu, Wan Quoris minta diri dan keluar dari bilik itu.

“Kemudian saya ambil sampul (yang mengandungi wang) dan memaklumkan kepada Datuk Seri ‘ini sampul surat’ dan meninggalkannya di atas meja. (Saya) salam Datuk Seri dan keluar dari bilik.”

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Zahid setiap bulan.

“Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri. Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018,” katanya.

Beliau juga berkata wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

“UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

“Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai. Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup,” katanya.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.