- Iklan -
Berita

Tak mahu panjangkan kes, keluarga Adib tarik balik rayuan komital terhadap Tommy Thomas

Menurut firma guaman yang mewakili keluarga anggota bomba itu, langkah menarik balik rayuan komital tersebut tidak bererti usaha mencari pembunuhnya tidak boleh diteruskan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP

Keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas.

Bapa Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid telah mengemukakan dua rayuan di Mahkamah Rayuan antaranya terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengenepikan keputusan koroner yang memberinya kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas.

Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Adib dalam kenyataan hari ini berkata, arahan itu dibuat oleh keluarga Adib kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

Kenyataan itu memaklumkan, susulan daripada arahan keluarga Adib agar rayuan bapanya ditarik balik, pihak peguam telah memfailkan notis menarik balik rayuan pada 31 Mei lepas, diikuti pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Maka dengan ini, pihak keluarga Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Thomas dan Jabatan Peguam Negara selesai dan tamat serta berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga memulakan kehidupan baru.

“Dalam masa sama, harus ditegaskan bahawa keputusan penyelesaian di peringkat rayuan ini tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner pada 27 September 2019, yang mengesahkan bahawa Adib mati dipukul (walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini) dan kematian turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan,” menurut kenyataan itu.

Firma guaman itu memaklumkan alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh hakim koroner itu juga tidak pernah diakas oleh mana-mana mahkamah yang lebih tinggi dan dengan itu, ia kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif.

Menurut firma guaman itu, pendirian keluarga Adib untuk menarik balik rayuan komital ini tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh Adib tidak boleh diteruskan oleh polis, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 29 November 2021, keluarga Adib telah menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta daripada kerajaan.

Pampasan tersebut adalah sebagai bantuan prihatin daripada kerajaan atas musibah yang menimpa ahli keluarga anggota bomba itu, yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018 dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili Kassim ketika dihubungi Bernama berkata rayuan AGC di Mahkamah Persekutuan itu ditarik balik semalam.

AGC yang mewakili Thomas merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Februari lepas yang memutuskan bahawa koroner yang mendengar inkues kematian Adib mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Thomas.

Dua rayuan oleh bapa Adib telah digantung pendengarannya, sementara rayuan AGC itu didengar.

Adib, yang ketika meninggal dunia berusia 24 tahun, merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu.