- Iklan -
Berita

Pengeluaran getah asli susut 20% pada April 2020

Sebanyak 22,498 tan getah asli dikeluarkan pada April berbanding 28,106 tan pada Mac.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki sedang menoreh getah di Kampung Melai, Tasik Chini, Pahang.
Seorang lelaki sedang menoreh getah di Kampung Melai, Tasik Chini, Pahang.

Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia merosot 20% kepada 22,498 tan pada April 2022 berbanding 28,106 tan pada Mac, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan hari ini berkata pengeluaran NR berkurangan sebanyak 2.2% tahun ke tahun berbanding 23,013 tan pada April 2021.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran komoditi itu pada April 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.1%) berbanding sektor estet (11.9%).

Jumlah stok NR pada April 2022 menurun sebanyak 4.1% kepada 297,673 tan berbanding 310,433 tan pada Mac 2022, katanya.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.5%, diikuti kilang pengguna getah (7.4%) dan estet getah (0.1%),” katanya.

Sementara itu, Uzir berkata eksport NR Malaysia berjumlah 58,755 tan pada April 2022, meningkat 10.2% berbanding 53,328 tan pada Mac 2022.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 39.7% daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2022, diikuti Amerika Syarikat (11.3%), Finland (4.5%), Mesir (3.2%) dan Iran (2.5%),” katanya.

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Beliau berkata produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 bilion pada April 2022, meningkat 8.6% berbanding RM2.0 bilion pada Mac 2022.

Uzir berkata sentimen penurunan pasaran getah disumbangkan oleh kerugian di pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan situasi lembab akibat sekatan ketat Covid-19 di China, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, kekurangan cip di peringkat global yang berterusan serta tekanan inflasi seperti dihuraikan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada April 2022.