Saturday, July 2, 2022

Pemain industri harap festival muzik antarabangsa mampu tarik pelancong ke Sarawak

Kadar penghunian hotel di negeri itu dianggarkan 35% hingga 40%, berbanding 10% hingga 15% semasa pandemik.

Other News

Pemain industri di Sarawak optimis sektor pelancongan berada dalam landasan untuk pulih semula, memandangkan bilangan pelancong terus meningkat ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19 selain sambutan hebat terhadap salah satu penganjuran acara festival muzik terbesar Malaysia selepas dua tahun tidak diadakan akibat pandemik.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Sarawak John Teo berkata pengusaha sektor pelancongan dan perhotelan menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung domestik menjelang Rainforest World Music Festival yang akan diadakan di Kuching minggu ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa membolehkan industri hotel untuk kembali pulih.

“Kadar purata penghunian hotel kini meningkat sebanyak 35% hingga 40%, berbanding 10% hingga 15% yang kita lihat sepanjang pandemik,” katanya.

“Selain rakyat Sarawak sendiri, kami juga melihat (kenaikan) pengunjung dari Malaysia Barat dan Singapura.”

Teo berkata penganjuran semula Rainforest World Music Festival, walaupun dalam bentuk hibrid, memberi rangsangan tambahan terhadap angka dalam industri pelancongan di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketiadaan pelancong antarabangsa, terutama dari China yang masih melaksanakan langkah ketat untuk memastikan dasar “sifar jangkitan Covid” berjaya.

“Tahun ini, kita kurang pelancong asing,” katanya.

“Kekangan utama adalah banyak negara yang masih belum buka semula sempadan mereka.”

Selain pelancong dari China, Teo berkata, Sarawak juga kehilangan pengunjung dari Brunei.

“Kami menjangkakan kadar penghunian akan menjadi lebih baik jika sempadan Brunei dibuka semula,” katanya.

“Tetapi kerajaan Brunei lanjutkan sekatan sehingga 1 Ogos.”

Tempahan hotel menjelang festival muzik yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Jun ini kebanyakannya dibuat oleh rakyat Sarawak, terutama dari Miri, Bintulu dan Sibu selain dari Kuching sendiri.

Kampung Budaya Sarawak sedia menerima pelawat menjelang Rainforest World Music Festival yang akan diadakan di Kuching minggu ini.

Walaupun demikian, lembaga pelancongan negeri itu berkata, jumlah tersebut masih berada pada tahap yang menggalakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sharzede Salleh Askor berkata lebih 7,000 tiket terjual setakat ini, dan dijangka akan terus meningkat.

“Kami tidak sabar untuk melihat jumlah jualan tiket yang positif pada hari pertama festival diadakan,” katanya.

“Kapasiti maksimum kami bagi sehari ialah 4,000 orang berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jadi kami menyasarkan kehadiran 12,000 orang bagi festival secara fizikal itu nanti.”

Walaupun jumlah tersebut dianggap masih jauh lebih rendah berbanding 23,650 pengunjung ketika ia dianjurkan sebelum pandemik Covid-19, pemain industri tetap teruja dengan jumlah tersebut.

“Mungkin pengunjung kurang pada acara itu tahun ini disebabkan sekatan perjalanan dan kebimbangan yang masih berlarutan dalam menghadiri acara besar,” kata Mona Manap, yang merupakan perunding bagi festival itu.

“Kami mungkin tidak dapat jumlah yang sama, tetapi kami akan jadi antara yang awal – negeri pertama yang mengadakan festival muzik antarabangsa secara hibrid.”

Walau apa pun keadaannya, tambah Mona, pihak penganjur menjangka lebih ramai pengunjung tempatan bakal menghadiri festival tersebut walaupun terdapat penurunan pelancong antarabangsa.

Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang berkata persiapan festival sedang giat dijalankan sementara jualan dalam talian juga terus meningkat setiap hari.

Beliau menjangkakan lonjakan pelawat tempatan pada saat-saat akhir.

“Persediaan tempat semuanya sudah dilakukan, kanopi dan pentas utama pun sudah disiapkan.”

Malahan, katanya, artis dari luar negara juga sudah tiba di negeri itu.

Kini, apa yang diperlukan dan dinantikan hanyalah pengunjung.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles