- Iklan -
Berita

Nato gesa lebih banyak senjata berat dihantar ke Ukraine

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata penting bagi Nato memastikan Rusia kalah dalam pencerobohannya terhadap Ukraine.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri luar negara anggota Nato bertemu dalam mesyuarat sebelum sidang kemuncak Madrid tahun ini, di Riga, Latvia pada Disember 2021. Gambar: AFP
Menteri luar negara anggota Nato bertemu dalam mesyuarat sebelum sidang kemuncak Madrid tahun ini, di Riga, Latvia pada Disember 2021. Gambar: AFP

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) berkata mesti pihaknya perlu mempertingkatkan kesiapsiagaan pada tahap yang lebih tinggi dan memperkasakan persenjataannya di sempadan Ukraine bagi menentang kemaraan Russia di timur negara itu.

Stoltenberg bercakap selepas perbincangan tidak rasmi di The Hague, Belanda bersama Perdana Menteri Mark Rutte dan beberapa pemimpin negara lain termasuk Denmark, Poland, Latvia, Romania, Portugal dan Belgium menjelang sidang kemuncak Nato di Madrid akhir bulan ini.

“Di Madrid, kami akan adakan persetujuan bersama dalam memperkasakan kedudukan,” katanya.

“Malam ini kami membincangkan keperluan untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan tempur menjadi lebih mantap dan memperkasakan persenjataan dengan lebih banyak peralatan dan bekalan.”

Ketika memberikan ulasan berhubung gesaan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky supaya menambah senjatan berkapasiti tinggi dan mampu menyasarkan sasaran pada jarak yang lebih jauh, Stoltenberg bersetuju Kyiv perlu dibekalkan dengan senjata yang lebih berat.

“Ya, Ukraine sepatutnya mempunyai lebih banyak senjata berat,” kata Stoltenberg.

Stoltenberg berkata, Nato sudah meningkatkan penghantaran dan mereka akan bertemu di Brussels hari ini untuk menyelaraskan bentuk sokongan seterusnya termasuk persenjataan berat.

“Ini kerana mereka benar-benar bergantung terhadap itu (senjata berat) untuk menentang pencerobohan kejam Russia,” katanya.

Ukraine sudah berulang kali memohon senjata berat dari barat, mengkritik beberapa pemimpin Eropah kerana gagal menghantar senjata yang disifatkan Kyiv perlu bagi menghalang kemaraan tentera Moscow.

Dalam pada itu, Rutte berkata dari segi persenjataan Ukraine, mereka bersetuju bahawa penting bagi negara-negara Nato untuk melihat Rusia kalah dalam perang itu.

“Dalam masa sama kita tidak boleh mengadakan konfrontasi secara langsung antara tentera Nato dan Rusia, apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan Ukraine boleh menghadapi perang itu dan mempunyai akses kepada semua persenjataan yang diperlukan.”

Ketika ditanya mengenai permohonan Sweden dan Finland untuk menyertai Nato, Stoltenberg berkata beliau sedang mencari jalan “yang mempersatukan” dalam proses menyelesaikan tentangan dari Turki, di mana ia menyuarakan kemarahan terhadap sokongan Sweden ke atas militan Kurdish.

Berikutan pencerobohan Rusia pada 24 Februari ke atas Ukraine, Nato memberikan reaksi balas dengan meningkatkan kehadirannya di Baltik.

Stoltenberg berkata Nato akan mengukuhkan lagi perikatan itu apabila kesemua 30 negara ahli bertemu pada 29-30 Jun di ibu negara Sepanyol itu.