- Iklan -
Berita

Sri Ram jelaskan mengapa Arul Kanda saksi relevan perbicaraan kes pinda audit 1MDB Najib

Arul Kanda Kandasamy juga bersedia dipanggil menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hadir bagi prosiding permohonan pihak pendakwaan untuk memanggilnya sebagai saksi kes pinda laporan audit 1MDB. Gambar: Bernama
Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hadir bagi prosiding permohonan pihak pendakwaan untuk memanggilnya sebagai saksi kes pinda laporan audit 1MDB. Gambar: Bernama

Timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah Najib Razak, Gopal Sri Ram hari ini berkata Arul Kanda Kandsamy merupakan saksi relevan bagi pendakwaan, mengatakan sebagai rakan subahat Najib Razak, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB itu berada dalam kedudukan untuk memberikan keterangan berhubung kelakuan rakan tertuduhnya.

Sri Ram dipetik sebagai berkata dalam laporan BH Online bahawa apa yang diucapkan Najib kepada Arul akan sangat relevan untuk mewujudkan niat rasuah.

Beliau berkata, bukti mengesahkan Arul yang merupakan CEO 1MDB ketika itu menghadiri mesyuarat pada 24 dan 25 Februari 2016, manakala Najib merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

“Dia mengetahui perkara berkaitan tuduhan dengan hadir mesyuarat dan melalui komunikasi bersama Najib.

“Dia juga mengetahui semua perbualan relevan mengenai pertuduhan.

“Oleh itu, mahkamah kemudian akan menentukan sama ada melalui keterangan itu, saksi (Arul) membuat penemuan yang benar apabila diperiksa oleh pasukan pendakwaan,” katanya.

Sri Ram berkata demikian dalam usaha pendakwaan memanggil Arul memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib.

Peguam N Sivananthan ketika disoal hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada Arul membantah permohonan pendakwaan, berkata anak guamnya bersedia memberikan keterangan.

“Anak guam saya senang hati dengan permohonan itu,” katanya.

Sementara itu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang membantah permohonan itu, berhujah pihak pendakwaan bertindak dengan niat jahat yang boleh menyebabkan penyalahgunaan proses mahkamah.

Shafee berkata permohonan itu sepatutnya dibuat pada permulaan perbicaraan pada 2019 bagi mengelak Arul mendengar keterangan saksi lain ketika perbicaraan.

“Pendakwaan sentiasa mengetahui bahawa keterangan Arul adalah perlu untuk menyokong kes mereka terhadap anak guam saya,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 24 Jun ini untuk membuat keputusan selepas mendengar hujahan dari kedua-dua pihak.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.