- Iklan -
Berita

SPRM gesa media tidak lapor dari blog beragenda politik

Azam Baki berkata SPRM tertakluk dengan SOP dalam meneliti aduan sebelum memulakan siasatan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggesa media supaya tidak melaporkan maklumat dari blog atau pengguna media sosial yang mempunyai agenda politik dan mendapatkan maklumat siasatan dari agensi anti rasuah itu sendiri mengikut etika kewartawanan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dalam etika kewartawanan sesuatu maklumat memerlukan sekurang-kurangnya dua sumber berasingan yang sahih.

“SPRM juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang tertentu dalam siasatan kami. Kami tidak boleh membuka kertas siasatan hanya dari maklumat seorang blogger atau seorang pengguna media sosial.

“Terutama sekali mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu,” katanya ketika berucap sempena Anugerah Media SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah wartawan mesti berhati-hari dalam membuat laporan dan mempunyai bukti yang kukuh, dan jika tidak, mereka boleh disaman di mahkamah.

Menurutnya, SPRM sebagai badan penguatkuasaan perlu cermat dalam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam penelitiannya terhadap sebarang aduan atau dakwaan sebelum memulakan sebarang siasatan.

“Saya harap media faham dan tidak lagi melaporkan SPRM membuka kertas siasatan susulan dakwaan seorang blogger,” katanya.

Dalam pada itu, Azam turut berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan rakan media dan wartawan dalam membantu membuat liputan bagi aktiviti dan program pendidikan anti rasuah yang dijalankan SPRM.

“Pintu kami sentiasa terbuka untuk anda berbincang dengan kami,” katanya.