- Iklan -
Berita

Kumpulan majikan beri amaran kerugian cecah bilion, ulangi gesaan benarkan migran bekerja

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berkata negara mungkin terlepas permintaan tinggi bagi komoditi, produk kilang dan perkhidmatan berpunca daripada kekurangan tenaga kerja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Data industri menunjukkan Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.
Data industri menunjukkan Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini mengulangi gesaan supaya migran dibenarkan bekerja, memberi amaran negara mungkin berdepan kerugian berbilion ringgit akibat kekurangan tenaga kerja walaupun peluang dilihat cerah dalam sektor ekonomi.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata Malaysia mendapat manfaat besar berikutan harga komoditi yang melambung selain peningkatan permintaan bagi produk perkilangan, begitu juga dalam sektor perkhidmatan seperti percutian dan pelancongan.

“Namun MEF sangat bimbang sekiranya industri kita tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya
permintaan tinggi terhadap komoditi, produk perkilangan dan perkhidmatan ketika ini ekoran persekitaran perniagaan yang terpaksa bergelut akibat kekurangan pekerja terutama pekerja asing,” katanya.

“Peluang seperti ini tidak selalu datang kepada kita.”

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, yang mewakili lebih 3,500 syarikat, baru-baru ini berkata walaupun “optimis dari sudut unjuran dan peningkatan dalam jualan, beberapa syarikat berdepan kesukaran bagi memenuhi pesanan pelanggan”.

Sementara itu, pemain industri dalam sektor minyak sawit menyifatkan keadaan mereka kini berada di “tahap yang sangat buruk”.

Memetik data industri dan kerajaan, Reuters melaporkan Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.

Pada April, MEF mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pengambilan pekerja dalam kalangan pelarian dan pendatang tanpa dokumen yang sudah berada dalam negara bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja.

“Dengan kelulusan khas kerajaan, mereka ini boleh dikerahkan untuk segera mengisi kekurangan tenaga kerja sehingga pekerja asing baru tiba,” katanya sambil memetik kerugian lebih RM30 bilion dalam industri perladangan akibat kekurangan pekerja bagi mengutip hasil tanaman.

Syed Hussain turut menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja yang berterusan dan kesannya terhadap industri secara menyeluruh.

“Syarikat mengalami kerugian berbilion ringgit akibat kelewatan (bagi kemasukan tenaga kerja) dan untuk sektor perniagaan, kami tidak dapat memahami apakah punca keadaan ini berlaku,” katanya sambil menambah majikan memerlukan penyelesaian segera bagi masalah itu.

“MEF beberapa kali mencadangkan langkah-langkah jangka pendek termasuk membenarkan pemegang kad UNHCR bekerja, memudahkan prosedur untuk rekalibrasi pendatang tanpa dokumen dan sumber buruh lain yang wujud bagi menangani isu-isu ini. Tetapi tiada jawapan munasabah diterima.”