Monday, July 4, 2022

KPM berusaha keras selesaikan masalah sekolah tumpang di Sabah

Menurut Menteri Pendidikan Radzi Jidin, peruntukan sebanyak RM706 juta sudah diberikan kepada 20 buah sekolah manakala bagi tiga lagi sekolah sedang diusahakan.

Other News

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah sekolah tumpang membabitkan 23 sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata 20 daripada sekolah berkenaan telah mendapat peruntukan RM706 juta untuk pembinaan bangunan sekolah masing-masing, manakala peruntukan bagi tiga sekolah lagi sedang diusahakan.

Beliau berkata Sabah mempunyai lebih banyak sekolah tumpang berbanding lain-lain negeri dan ini menjadi cabaran infrastruktur bagi KPM.

“Pihak kementerian akan memberi tumpuan terhadap pembinaan sekolah yang tidak siap mengikut jadual. Apa yang penting adalah kita pastikan anak-anak kita mendapat kemudahan pendidikan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran semalam.

Menurutnya SMK Libaran merupakan salah satu daripada 23 sekolah itu yang baru siap setelah lebih 22 tahun, dengan 597 pelajarnya menumpang di Sekolah Kebangsaan Sungai Padas, kira-kira 3km dari sekolah itu.

Sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 25km dari Sandakan, dijadual beroperasi mulai 1 Julai ini, melibatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima.

Sementara itu Radzi berkata pihak kementerian sedang berbincang dengan pelbagai pihak mengenai bagaimana cara untuk meningkatkan program pendedahan dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

“Anak-anak kita perlu menyedari kita bertanggungjawab menjaga khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Semasa lawatannya ke Sandakan, Radzi berkata beliau turut berpeluang melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo serta Pusat Penemuan Hutan Hujan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai usaha mencintai alam sekitar.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles