Monday, July 4, 2022

Pegawai bank sahkan lebih RM45 juta dipindahkan ke akaun Najib pada 2014

Salmah Daman Huri berkata tiada amaran dari Bank Negara atau AmBank ketika transaksi itu berlaku.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu lebih RM45.8 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmBank Najib Razak melalui Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) antara Oktober dan Disember 2014.

Naib Presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan Ambank (M) Berhad, Salmah Daman Huri, 50, melalui keterangan saksinya, berkata dana berjumlah £8,706,021.92 (RM45,837,485.70) dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri yang berakhir dengan angka 880 dalam lima transaksi.

Vista Equity ialah syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Sejumlah RM30,032,250 dipindahkan pada 23 Oktober 2014, dan RM3,624,473.70 dan RM11,567.57 masing-masing pada 24 dan 26 November.

“Dua transaksi lain berjumlah RM5,360,065 dan RM6,809,129.43 dilakukan pada 10 dan 18 Disember,” kata saksi pendakwaan ke-23 tersebut semasa perbicaraan bekas perdana menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Salmah turut mengesahkan lima dokumen yang menunjukkan transaksi pemindahan dari Vista Equity melalui Amicorp Bank dan Trust Ltd, Barbados dan Standard Chartered Bank, London sebelum masuk ke akaun “AmPrivate Banking-1MY” yang berakhir dengan angka 880.

Pada hari pertama perbicaraan, pihak pendakwaan berkata ia akan menunjukkan bagaimana dana 1MDB dipindahkan melalui beberapa traksaksi ke dalam akaun Najib, di mana sebanyak AS$20 juta (RM60,629,839.43) daripada fasa pertama; AS$30 juta (RM90,899,927.28) pada fasa kedua; AS$681 juta (RM2,081,476,926) atau lebih RM2 bilion pada fasa ketiga; selain transaksi dalam pound sterling Britain bersamaan RM4,093,500 dan RM45,837,485.70 atau jumlah terkumpul sebanyak RM49,930,985.70 atau lebih RM49 juta pada fasa keempat.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah mengakui tiada amaran dikeluarkan oleh Bank Negara atau AmBank ketika transaksi tersebut dilakukan.

Salmah turut menambah beliau tidak menyedari akaun yang berakhir dengan angka 880 itu adalah milik Najib pada waktu itu dan hanya mengetahuinya ketika siasatan dijalankan.

Salmah turut memberikan keterangan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan transaksi mata wang asing itu adalah dari Najib kerana jabatannya hanya berurusan dengan pengurus hubungan pemegang akaun dalam transaksi tersebut.

Ketika ditanya sekali lagi oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram, Salmah berkata biasanya bank akan menghantar penyata bank kepada pelanggan pada akhir bulan bagi menunjukkan jumlah baki dalam akaun mereka.

Salmah turut berkata Najib tidak pernah membangkitkan sebarang laporan mengenai transaksi tersebut kepada pihak bank ketika ditanya seorang lagi timbalan pendakwa raya, Najwa Bistamam.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 billion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles