- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi gesa polis jangan campur tangan berhubung hukuman mati

Lawyers for Liberty berkata badan penguatkuasaan tidak perlu campur tangan dalam pendirian awam berhubung dasar dan undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Georgetown, Pulau Pinang di mana beliau mencadangkan syabu dan pil ekstasi diletakkan dalam kategori serupa seperti heroin bagi membolehkan hukuman mati dijatuhkan. Gambar: Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Georgetown, Pulau Pinang di mana beliau mencadangkan syabu dan pil ekstasi diletakkan dalam kategori serupa seperti heroin bagi membolehkan hukuman mati dijatuhkan. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa Bukit Aman untuk tidak campur tangan dalam dasar kerajaan berhubung penggunaan hukuman mati, berikutan cadangan pihak polis untuk menurunkan jumlah minimum pemilikan dadah jenis syabu kepada 15 gram bagi membolehkan pesalah dihukum mati.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda atau menggubal beberapa akta berkaitan hukuman dadah selaras dengan perkembangan semasa salah guna bahan terlarang itu di negara ini.

Katanya,  jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin sebelum ini.

“Sebelum ini, bagi heroin 15 gram memang hukuman gantung tetapi bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50g (hukuman gantung)… jadi kita nak kurangkan lagi berat bagi syabu kepada 15g,” katanya sambil menambah cadangan tersebut dibawa ke Kementerian Dalam Negeri sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

LFL berkata kenyataan Ayob tersebut tidak selari dengan pengumuman kerajaan sehari sebelumnya yang setuju memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Inilah sebabnya mengapa badan penguatkuasaan seperti polis tidak perlu buat kenyataan awam mengenai isu-isu dasar yang bersifat politik dan kontroversi seperti penggunaan hukuman mati,” kata Pengarah LFL Zaid Malek.

“Objektif kerajaan dan juga jawatankuasa khas dipengerusikan (Richard) Malanjum secara jelas akan mengurangkan dan mengehadkan penggunaan hukuman mati dalam kes dadah dan kes-kes lainnya.

“Berbeza dengan cadangan Ayob yang mahu menambah satu lagi kategori kesalahan dadah yang boleh dijatuhkan hukuman mati.”

Pada 10 Jun, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan bentuk hukuman lain terletak atas budi bicara mahkamah.

Beliau berkata Kabinet juga bersetuju untuk membuat penelitian dan kajian lanjut berhubung hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membolehkan hukuman mati mandatori jika disabitkan, berada di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan juga 22 kesalahan lain yang memperuntukkan hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah.

Dalam pada itu, Zaid berkata isu berhubung penggunaan dadah sama ada ia dibenarkan atau diletakkan di bawah kategori jenayah mempunyai perbahasan “dari pelbagai segi” dan perlu diserahkan kepada pakar di mana ia dikaji “berdasarkan maklumat meyakinkan dan teliti, melalui kajian saintifik.”.

“Tiada alasan rasional bagi cadangan Bukit Aman yang mahu pemilikan 15g syabu harus dihukum mati,” katanya.

“Tanggungjawab pihak badan penguatkuasaan adalah menegakkan dan menguatkuasakan undang-undang yang digubal. Mereka tidak perlu campur tangan dengan mengetengahkan pendirian mengenasi dasar dan perundangan.”

Beliau turut menggesa polis untuk menghormati pendekatan dan pendirian kerajaan berhubung hukuman mati tersebut selain turut berkata polis perlu memberikan tumpuan dalam usaha menumpaskan dalang operasi dadah dalam negara.

“Biarkan urusan perundangan mengenai dadah ini kepada kerajaan dan Parlimen,” katanya.