- Iklan -
Berita

Wajarkah Malaysia laksanakan ‘nasionalisme makanan’?

Pakar berkata amalan nasionalisme bukan satu perkara yang luar biasa dalam memastikan kelangsungan dan keamanan negara.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Malaysia menghentikan eksport ayam bulan ini sehingga pengeluaran dan kos dalam negara stabil.
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Malaysia menghentikan eksport ayam bulan ini sehingga pengeluaran dan kos dalam negara stabil.

Krisis makanan dan bekalan di seluruh dunia mengakibatkan negara-negara pengeluar berada dalam keadaan panik, sekali gus bertindak menyekat eksport bahan makanan demi memastikan bekalan dalam negara mecukupi – satu langkah yang dipanggil sebagai nasionalisme makanan.

Krisis yang bermula ekoran penutupan sempadan selepas Covid-19 melanda telah diburukkan lagi dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menyebabkan inflasi makanan berlaku selain meletakkan bekalan makanan global dalam risiko ketika konflik antara negara pengeksport bijirin ketiga dan keempat terbesar dunia itu terus memuncak.

Di Asia pula, India bertindak menyekat eksport gandum manakala Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia menyekat eksport komodoti tersebut walaupun kemudian melakukan pusingan-U terhadap tindakan itu.

Ia disusuli dengan tindakan Malaysia menghentikan eksport ayam, satu langkah yang akan dikekalkan sehingga pengeluaran dan kos komoditi itu stabil.

Organisasi Makanan dan Agrikultur (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan beberapa negara bakal berdepan dengan kekurangan makanan, memburukkan lagi situasi lebih 800 juta manusia di seluruh dunia yang sudah pun berdepan isu kekurangan makanan.

Dengan latar suasana global sedemikian rupa, perbahasan mengenai keperluan nasionalisme makanan kembali timbul.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad berkata, “nasionalisme makanan” tidak bertentangan dengan konsep demokrasi yang memerlukan pihak kerajaan menjaga kehendak rakyat terlebih dahulu.

Katanya, nasionalisme makanan merupakan satu bentuk perlindungan ekonomi (economic protectionism) yang sebenarnya sudah diamalkan oleh Malaysia melalui polisi subsidi, kuota import, lesen, tarif dan kawalan harga.

“Jadi tidak pelik untuk negara-negara mengamalkan nasionalisme makanan kerana ia adalah survival politik pemerintah supaya negara kekal aman,” katanya kepada MalaysiaNow.

Nurfitri turut menyentuh tindakan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat yang mengamalkan nasionalisme vaksin sebelum ini dengan menyimpan bekalan vaksin melebihi keperluan.

“Isunya sama, menjaga keperluan nasional supaya mereka kekal memerintah.

“Jadi saya nampak ini reaksi normal manusia dan polisi negara-negara di dunia mesti menumpukan kepada penghasilan makanan lokal, bukan pasaran terbuka,” katanya.

Sementara Chee Yoke Ling dari Third World Network berkata, isu tersebut menjadi dilema untuk banyak negara lain yang perlu mengimbangi keperluan makanan dengan mengekalkan eksport ke negara yang tidak menghasilkan makanan mereka sendiri.

“Ia merupakan masalah yang lebih mendalam mengenai ketiadaan penghasilan makanan domestik yang mencukupi dan kebergantungan terhadap import. Ini menyebabkan kekurangan bekalan makanan akibat pelbagai faktor termasuk bencana alam di negara pengeksport, kejatuhan jumlah penghasilan, perang dan penutupan sempadan.

“Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan kerana menghalang eksport supaya rakyat mereka ada makanan yang cukup,” katanya.

Kepentingan geopolitik

Sementara itu, beberapa negara pula dilihat menunggang krisis makanan untuk kepentingan geopolitik mereka.

Sebagai contoh, Thailand dan Vietnam, antara pengeluar beras terbesar dunia dilaporkan mahu membentuk kerjasama bagi meningkatkan harga eksport beras dalam usaha menambahkan kuasa rundingan masing-masing.

Nurfitri berkata, nasionalisme makanan sememangnya tidak disukai oleh negara-negara Barat.

Ini kerana mereka melihat perkara tersebut sebagai tidak menguntungkan mereka dari segi kebebasan perdagangan.

“Mereka mahu melabur dan berniaga tanpa kawalan tertentu di Malaysia yang mana ia mengancam pemain industri dan kedaulatan makanan negara.”

Katanya, terdapat tekanan supaya negara membuka pasaran ke arah pasaran terbuka yang terdedah kepada eksploitasi dan kesan-kesan ekonomi global melalui perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Chee turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Katanya, negara yang dahulu bersifat nasionalis vaksin adalah negara sama yang melabel pihak lain sebagai “nasionalis makanan” kerana mahu mengisi perut rakyat mereka.

Beliau memaklumkan, pada masa kini berlaku perdebatan dan rundingan di Geneva sebelum Persidangan Menteri ke-12 Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Namun katanya, tiada jalan penyelesaian hitam dan putih dalam hal ini.

“Jalan ke depan ialah kerjasama telus dan membina kepercayaan di setiap sudut dalam kalangan komuniti global.

“Penyelesaian jangka masa panjang untuk kekurangan bekalan makanan ialah satu set polisi dan langkah yang memaksimumkan keselamatan makanan domestik.”