Monday, July 4, 2022

Rumah kos rendah sempit dorong kanak-kanak lepak di jalanan

Kurang ruang peribadi di rumah sendiri, kanak-kanak melapangkan fikiran mereka di tempat lain.

Other News

Tiada yang menarik untuk dilakukan pada musim cuti sekolah bagi Haris, seorang remaja berusia 15 tahun yang tinggal di sebuah unit pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Di sebalik tingkap biliknya di aras tujuh bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR), Haris mendengar jelas suara girang kanak-kanak di unit kondominium berdekatan bangunan rumahnya yang seronok bermain di kolam renang.

Berbeza dengan Haris, biliknya pula dipenuhi dengan barangan rumah seperti periuk belanga, almari pakaian dan aksesori kereta terpakai yang disimpan oleh ayahnya.

Disebabkan ruang di dalam rumah yang terhad, bilik tidur Haris menjadi sasaran ibu bapanya meletakkan barang-barang tersebut.

Adakah situasi seperti itu boleh menjadi bilik tidur kegemaran kanak-kanak?

Adakah bilik tidur Haris sesuai dijadikan tempat bermesra dengan ibu bapa sambil menonton televisyen?

Paling penting, mampukah Haris merasai nikmatnya berkasih sayang dengan ahli keluarga seperti mengucapkan selamat malam sebelum tidur dan mendapat privasi di biliknya dan adik beradik yang lain?

Pada waktu malam pula, Haris bersama rakan-rakannya menunggang basikal ke Dataran Merdeka untuk melepak dan bersuka ria.

Di situ, Haris dan rakan-rakannya menggunakan peluang yang ada untuk bermain dan menikmati masa mereka di luar rumah.

Buat seketika, mereka terlupa akan kesempitan bilik tidur dan kesunyian isi rumah.

Bilik tidur pengaruhi kanak-kanak  

Satu kajian dilakukan oleh University College London (UCL) di United Kingdom pada tahun 2019 menyatakan ramai kanak-kanak menghabiskan masa di rumah mereka dan satu pertiga digunakan untuk berada di dalam bilik tidur.

Di mata kanak-kanak, rumah adalah tempat kasih sayang bersemadi, kenangan tercipta, kegembiraan dan keselesaan ditemui.

Tidak menghairankan bahawa psikologi dan pertumbuhan kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh persekitaran bilik tidur mereka.

Kajian itu menyebut, kanak-kanak yang tinggal di rumah kos rendah mengalami banyak masalah kesihatan mental berbanding yang menghuni rumah-rumah mewah.

Kebanyakan mereka menghidap keresahan, kemurungan dan lembab dalam mengawal emosi.

Kajian itu mendapati, keselesaan rumah dan kemudahan asas amat mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak sehingga satu tahap yang merisaukan.

Bagaimanapun, ramai kanak-kanak di Malaysia yang senasib dengan Haris.

Malah, ada yang kurang bernasib baik, tidak memiliki bilik tidur sendiri.

Ini menyaksikan privasi kanak-kanak sudah dilucutkan sejak usia yang amat muda.

Tidak menghairankan, kehadiran kanak-kanak dan remaja miskin kota amat mudah dikesan pada waktu cuti sekolah dan malam minggu di tempat-tempat tumpuan ramai.

Ini menjadi petanda bahawa mereka benar-benar perlu keluar dari rumah buat seketika bagi memberi ruang untuk mengambil nafas baru sebelum kembali ke ruang yang sempit dan tidak selesa.

Sebagai negara membangun, Malaysia mengalami pertumbuhan negara yang amat pesat.

Penghijrahan ke kota  

Keadaan ini menyaksikan penghijrahan besar-besaran dari luar bandar ke bandar mengakibatkan permintaan rumah semakin tinggi.

Disebabkan itu, ratusan ribu unit rumah di bawah PPR dibina sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk memenuhi permintaan tersebut sejak awal tahun 1998.

Bagaimanapun, reka bentuk dan seni bina rumah PPR seringkali menerima kritikan kerana saiz ruang dan lokasinya yang tidak menepati ciri-ciri psikologi kemanusiaan.

Antara kelemahan yang dibangkitkan adalah kekurangan ruang penyimpanan yang menyebabkan penduduk gemar meletakkan barang-barang di kaki lima koridor sekali gus menghalang laluan sekiranya kecemasan berlaku.

Jabatan Perumahan Negara (JPN) mempunyai reka bentuk standard untuk memastikan ciri-ciri asas kediaman untuk keluarga berpendapatan rendah dapat dicapai.

Di Malaysia, kebanyakan unit perumahan PPR yang didiami siap dibina sejak tahun 2000.

Ketika itu, JPN meletakkan saiz untuk setiap unit adalah dengan kadar 130 kaki persegi setiap seorang.

Dengan 650 kaki persegi (60.38 meter persegi) untuk purata lima orang sekeluarga dalam satu unit rumah.

Dari segi saiz, unit rumah PPR jauh lebih besar berbanding projek perumahan rakyat di Jepun dan United Kingdom sekitar tahun 1980-an di mana hanya peruntukan sebanyak 50 dan 62 kaki persegi setiap seorang.

Selain itu, unit rumah PPR turut mempunyai saiz dan ruang kecil di bahagian dapur serta di ruang tamu menyebabkan ahli keluarga tidak boleh berinteraksi dengan optimum.

Susunan dinding dengan bukaan tingkap yang minimum juga menghadkan pengaliran udara di dalam rumah.

Ini mengakibatkan senario seperti budaya melepak dalam kalangan penduduk rumah kos rendah seperti satu acara dan aktiviti di hujung minggu.

Mereka ini tidak memiliki akses kepada ruang yang lebih besar dan selesa untuk menikmati hidup setapak lebih baik disebabkan struktur rumah yang sempit dan tidak mesra.

Pensyarah arkitek dan seni bina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azari Mat Yasir berkata isu keluasan rumah kos rendah sememangnya sesuatu yang amat kompleks untuk dibincangkan.

Katanya, tidak dinafikan, dari sudut pandang kepakaran arkitek turut mengambil kira ciri-ciri psikologi manusia terutamanya pembesaran kanak-kanak.

“Tetapi, ruang yang banyak, besar dan luas itu biasanya tidak dapat disediakan dalam rumah kos rendah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, katanya, menjadi satu kelaziman untuk arkitek mengatasi masalah tersebut dengan menyediakan lebih banyak ruang awam yang boleh digunakan pakai oleh semua penduduk di kawasan perumahan sama.

Berbeza dengan unit rumah kos sederhana, penghuni mungkin ada ruang laman yang luas dalam pagar atau kawasan rumah.

Namun begitu, rumah kos rendah akan dibina taman permainan yang berdekatan dengan blok-blok rumah.

Tambah Azari, pada dasarnya, jika sesebuah unit rumah tidak mampu mempunyai ruang permainan sendiri, maka ruang yang dikongsi patut disediakan.

Bagaimanapun, seperti yang sedia maklum, tidak semua pemaju sanggup untuk menyediakan tempat-tempat tersebut disebabkan dua faktor utama;

“Tiada siapa yang mahu bayar dan tiada siapa yang akan bertanggungjawab untuk menyelenggara.

“Dan yang memburukkan keadaan ialah, sikap masyarakat kita sendiri yang tidak reti nak jaga harta benda awam yang dikongsi bersama.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles