- Iklan -
Berita

PN bakal lancar projek pertanian rakyat, kata Muhyiddin

Projek itu bertujuan membantu membekalkan sumber makanan dan alternatif bagi menjana pendapatan khususnya mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.

Perikatan Nasional (PN) bakal melancarkan projek pertanian dengan skala besar-besaran melibatkan semua bahagian dan cawangan di seluruh negara dalam tempoh terdekat, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, projek pertanian tersebut bertujuan untuk membantu membekalkan sumber makanan dan alternatif bagi menjana pendapatan untuk keluarga miskin, khususnya mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, projek itu akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Jun ini ketika lawatannya ke Bachok, Kelantan yang menjadi anak sulung projek tersebut dengan menyifatkan sambutan penduduk terhadap gerak kerja itu sangat baik.

“Hasil tanaman itu pun kita boleh bekalkan kepada rakyat miskin, secara percuma adalah lebih baik.

“Atau jual sahaja murah-murah pun bolehlah, asalkan pulang modal. Kita buat bukan nak raih keuntungan,” katanya pada satu sidang media di Johor hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata projek bercucuk tanam itu adalah satu langkah permulaan untuk membantu kelompok yang terjejas pendapatan dalam tempoh pandemik untuk melangkah semula dalam kehidupan.

Ini memandangkan ramai yang kehilangan kerja dan berubah status ekonomi sejak pandemik melanda.

Projek pertanian itu, katanya, dijangka tidak akan mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil memandangkan tanaman kebiasaannya boleh dituai dalam tempoh yang singkat.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menanam jagung di rumah dan boleh menuai hasil dalam hanya sekitar 60 hari sahaja.

Beliau turut memaklumkan, projek tersebut akan diselia oleh pimpinan PN di kawasan masing-masing tanpa mengira status dan latar belakang individu memandangkan kelompok miskin tidak memilih bangsa dan pegangan politik.

Katanya, tiada syarat khusus seperti jenis tanaman yang perlu ditanam untuk projek tersebut.

Peserta bebas memilih tanaman yang dirasakan perlu untuk ditanam dan dituai seperti cili, lada dan jagung.

“Kalau ada masalah (tiada) tanah, tak mengapa. Kita banyak tanah-tanah terbiar.

“Usaha begini, jangan kita perlekehkan.

“Kalau betul-betul buat, tak perlu pergi ke pasar dah. Boleh makan sekampung,” katanya.