Saturday, July 2, 2022

SC tetapkan garis panduan pastikan kebebasan agensi penarafan kredit

Ia termasuk menubuhkan jawatankuasa penarafan yang terdiri daripada ‘individu berkelayakan dan bebas’ bagi menetapkan atau memutuskan semua penarafan kredit.

Other News

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa agensi penarafan kredit (CRA) mesti mematuhi garis panduan yang yang ditetapkan badan berkanun itu bagi memastikan kebebasan proses penilaian kredit tanpa sebarang kompromi.

Dalam sebuah kenyataan, SC berkata ia termasuklah menetapkan pelantikan ahli lembaga pengarah dan CEO CRA tertakluk kepada penilaian yang wajar dan perlu mendapat kelulusan dari SC.

Menurut SC, di bawah garis panduan CRA itu, agensi penarafan ditetapkan untuk menubuhkan jawatankuasa penarafan yang terdiri daripada “individu berkelayakan dan bebas” bagi menetapkan atau memutuskan semua penarafan kredit.

Langkah itu, katanya, boleh mengelakkan penglibatan lembaga pengarah dan pemegang saham dalam perbincangan dan keputusan penarafan yang dibuat.

SC turut berkata ia akan terus mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan kebebasan penarafan dan objektiviti.

Sekiranya perlu, SC berkata ia akan mengenakan syarat tambahan terhadap kelulusan yang diberikan kepada pemohon

“Melangkah ke hadapan, SC berhasrat untuk menjadikannya satu keperluan bagi majoriti ahli lembaga pengarah (di kedua-dua syarikat induk dan syarikat penarafan) serta jawatankuasa penarafan terdiri daripada ahli bebas dan bagi sebarang keputusan dalam memberikan dividen kepada pemegang saham memerlukan kelulusan dari SC terlebih dahulu bagi memastikan CRA terus beroperasi dengan sumber yang mencukupi untuk mengekalkan operasi penarafannya,” kata SC sambil menambah ia sedang mengkaji mengenai komposisi jawatankuasa penarafan yang ditetapkan.

Kenyataan SC hari ini adalah susulan selepas RAM Holdings meluluskan usul membenarkan pengambilalihan pemilikannya dengan pemegang saham tunggal terbesar iaitu CTOS Digital.

Lebih dari 93% ahli yang menyertai mesyuarat agung tahunan agensi itu memberikan undi menyokong pemindaan perlembagaan syarikat yang memansuhkan larangan pemegang tunggal memiliki lebih 20% saham syarikat.

Usul untuk meminda klausa tersebut dibuat oleh CTOS Digital, satu lagi agensi penarafan kredit yang berkait dengan Brahmal Vasudevan melalui firma ekuitinya, Creador.

Langkah itu kali pertama dilaporkan MalaysiaNow minggu lalu selepas melihat notis AGM, di mana ia menimbulkan persoalan dalam pasaran modal di sebalik rancangan CTOS Digital untuk memiliki majoriti saham dalam syarikat tersebut.

Berhubung apa yang dibangkitkan laporan itu, SC menjelaskan bahawa sebarang perubahan pegangan saham yang mengakibatkan pemegang tunggal mengawal sebanyak 20% atau lebih modal berbayar CRA memerlukan kelulusan dari SC terlebih dahulu.

“Kelulusan awal dari SC juga diperlukan untuk sebarang peningkatan terkumpul berikutnya dalam pegangan saham sebanyak 10% atau lebih daripada modal berbayar CRA. Kedua-dua keperluan ini ditetapkan di bawah garis panduan CRA.“

“Selain daripada memperoleh pegangan saham dalam CRA sedia ada, permohonan juga boleh dibuat untuk penubuhan dan pendaftaran agensi penarafan ketiga, tertakluk kepada keperluan yang dinyatakan dalam garis panduan CRA. Pemegang saham CRA boleh menjadi syarikat, termasuk syarikat tersenarai awam, selaras dengan amalan serupa di bidang kuasa lain.“

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles