- Iklan -
Berita

Petisyen untuk ambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia dilancarkan

Ramai penumpang berkata mereka kesal dengan tindakan syarikat itu yang membatalkan penerbangan sehingga menjejaskan rancangan mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail penumpang berbaris di kaunter tiket AirAsia di klia2, Sepang.
Gambar fail penumpang berbaris di kaunter tiket AirAsia di klia2, Sepang.

Satu petisyen bagi mengumpulkan penumpang yang tidak berpuas hati bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mendapat sambutan dalam talian, di mana beberapa penumpang menyuarakan kekesalan di mana pembatalan penerbangan menjejaskan rancangan perjalanan mereka.

Petisyen di laman sesawang change.org bertajuk “AirAsia class action lawsuit for losses due to cancellations and changes of flights”, dilancarkan sejak dua minggu lalu sudah menarik lebih 700 tandatangan setakat tengah hari tadi.

“Dengan ramai penumpang membuat prabayar bagi perbelanjaan bukan penerbangan mereka, menyebabkan kerugian wang ekoran pembatalan perjalanan dan penjadualan semula penerbangan,” katanya.

“Kebanyakannya tidak dibayar balik atau terpaksa berdepan pelbagai kesukaran sebelum boleh menerima sebahagian daripaada bayaran tiket itu. Mengambil kita kerugian daripada perbelanjaan perjalanan bukan penerbangan di samping bayaran tiket penerbangan, maka AirAsia sewajarnya bertanggungjawab akibat kerugian tersebut.”

AirAsia hari ini menegaskan pihaknya komited untuk menyelesaikan permintaan bayaran balik tiket yang dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Syarikat itu juga mendakwa mereka sudah menyelesaikan hampir 99% daripada pertanyaan pelanggan berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8% dalam masa terdekat.

AirAsia adalah salah satu syarikat penerbangan yang dikecam hebat sepanjang musim perayaan baru-baru ini kerana penangguhan jadual penerbangan dan penjadualan semula penerbangan sehingga mencetuskan kemarahan ramai penumpang.

Penumpang yang tidak berpuas hati juga turut mendesak syarikat penerbangan itu untuk membayar balik tiket penerbangan yang dibatalkan sejak dua tahun pandemik melanda negara.

Memberi maklum balas terhadap petisyen itu, Syeikh Mohd Syamil Mansor berkata dia menempah enam penerbangan dengan AirAsia sejak pandemik, di mana dua daripadanya dibatalkan sementara empat lagi dijadualkan semula.

“(Ini menyebabkan) gangguan terhadap rancangan perjalanan saya, selain meyebabkan saya kerugian kerana sudah membayar tempat bermalam di destinasi yang saya hendak pergi.

“Saya tak dapat bayaran balik secara tunai bagi penerbangan yang dibatalkan, hanya dapat akaun kredit yang mana baru-baru ini ditukar kepada baucar perjalanan yang dihadkan untuk penerbangan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy Ng berkata hampir 80% rancangan perjalanannya terpaksa ditukar, sementara Adam Mohd Ali berkata beliau masih menunggu untuk mendapat bayaran balik bagi tiket penerbangan yang dibatalkan pada 2019.

Pada 8 Jun, MalaysiaNow melaporkan penumpang AirAsia masih menunggu bayaran balik daripada syarikat itu dan merancang untuk mengadakan protes di ibu pejabatnya di Sepang, Selangor minggu depan.

“Kami terpaksa memilih cara ini memandangkan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa seolah-olah tidak mengendahkan aduan yang dibuat,” kata Teerathpal Singh yang merupakan antara penumpang yang bakal hadir protes tersebut.