Saturday, July 2, 2022

Ganja untuk perubatan, masakan bukan lagi jenayah di Thailand

Bagaimanapun, penggunaan ganja secara rekreasi masih diharamkan di negara itu.

Other News

Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Mulai semalam, kerajaan mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.

Penggunaan ekstrak ganja tidak boleh melebihi 0.2% tetrahydrocannabinol (THC) dan jika melebihi ia dianggap melanggar undang-undang.

Susulan langkah Thailand itu hampir 100,000 orang bergegas mendaftar di aplikasi kerajaan PlookGanja semalam untuk memohon menanam tumbuhan berkenaan dan portal alternatif telah disediakan berikutan sambutan yang menggalakkan.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand Dr Paisarn Dunkum berkata aplikasi itu dimuat turun lebih 50,000 kali semalam.

Beliau memberi amaran bahawa sijil itu boleh dibatalkan serta-merta jika penanam gagal mematuhi peraturan.

“Orang ramai boleh memohon untuk menanam ganja bagi kegunaan isi rumah sahaja. Untuk kegunaan bukan isi rumah, ia memerlukan kebenaran rasmi,” katanya.

Selain itu, 1,000 pokok ganja akan diedarkan secara percuma kepada penduduk di Buriram, mulai esok.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata pemberian percuma itu sebagai permulaan kepada kempen pengagihan satu juta tumbuhan ganja di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah untuk kegunaan memasak dan perubatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Thawatchai Chaiwat berkata kira-kira 3,000 banduan yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan ganja sahaja dibebaskan hari ini berikutan pembatalan penyenaraian ganja daripada senarai narkotik.

Menurut Kementerian Kehakiman kesemua 7,488 kes ganja di mahkamah juga akan digugurkan termasuk semua kes yang sedang dalam siasatan polis, lapor portal berita The Nation.

Makanan, minuman dan snek yang mengandungi ekstrak ganja kini menjadi makanan popular terbaru di Thailand apabila ganja tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles