- Iklan -
Berita

Apakah pemansuhan PT3 sesuai dilakukan sekarang?

Mereka berkata banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat, dan turut dilihat membazirkan masa dan wang bagi persediaan menghadapi peperiksaan tahun ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah menduduki peperiksaan utama di Kuala Lumpur. Pakar pendidikan meliharkan kebimbangan berhubung pemansuhan PT3, di mana ia dianggap sebagai persediaan awal dalam menghadapi SPM pada Tingkatan Lima.
Pelajar sekolah menduduki peperiksaan utama di Kuala Lumpur. Pakar pendidikan meliharkan kebimbangan berhubung pemansuhan PT3, di mana ia dianggap sebagai persediaan awal dalam menghadapi SPM pada Tingkatan Lima.

Pakar-pakar pendidikan melahirkan kegusaran terhadap langkah kerajaan memansuhkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan menggantikannya dengan pentaksiran bilik darjah (PBD) baru-baru ini, dalam usaha mengalihkan sistem pendidikan daripada terlalu berasaskan peperiksaan.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, terdapat keperluan untuk meneliti semula isu-isu yang wajar diselesaikan sebelum melaksanakan PBD antaranya jumlah murid yang sangat ramai dalam satu-satu kelas selain beban yang diletakkan kepada guru bagi perkara yang tidak berkaitan pendidikan.

“Apabila dibuat perbandingan dengan negara maju yang lain, kita dapati pemansuhan PT3 boleh dipertimbangkan. Tetapi itu bukan isunya. Isunya ialah masa. Adakah sesuai ia dimansuhkan sekarang?

“Apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan PT3 secara tergesa-gesa sebelum sempat membuat persiapan rapi pelaksanaan PBD, maka itu adalah langkah yang tidak wajar,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Langkah KPM itu menyusul pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada April tahun lalu. 

Sebagai rekod, PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah pada 2014. 

Bagaimanapun, Anuar mencadangkan supaya PT3 dimansuhkan mulai tahun 2024 bagi memberi peluang untuk usaha pemantapan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS).

“Banyak persediaan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan PBD dilaksanakan secara berkesan dan tidak merugikan dan membebankan guru dan murid-murid. 

“Misalnya, latih dahulu kemahiran PBD pada guru-guru, lantik dahulu guru pembantu bagi kelas lebih 40 murid, dan semak semula silibus khususnya sekolah rendah supaya lebih mesra aktiviti pembelajaran,” katanya.

Tindakan lain yang perlu dilakukan terdahulu termasuklah membangunkan modul aktiviti murid yang menyokong pelaksanaan PBD selain meningkatkan kefahaman ibu bapa tentang cara penilaian baru itu.

Menjelaskan tentang PBD, Azlin Norhaini Mansor dari Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, UKM berkata objektif utama PBD ialah memantau kemajuan kendiri murid dan bukan perbandingan kemajuan satu murid dengan murid lain. 

Katanya, ia relevan dan selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Walaupun Azlin menyokong perlaksanaan PBD, namun katanya dua isu perlu diberi tumpuan, iaitu ketelusan dari aspek laporan PBD dan kemahiran murid menjawab peperiksaan. 

“Ada pihak yang secara tidak langsung mahu memastikan murid mencapai tahap minimum kefahaman bagi setiap subjek dengan apa jua cara sekalipun, atas alasan untuk mengekalkan prestasi akademik sekolah dan bagi mengelak sebarang isu atau ‘tindakan’ sekiranya berlaku penurunan kualiti akademik terhadap sekolah yang tidak mencapai indeks pencapaian.

“Terdapat beberapa kes terpencil yang mana guru menyatakan mereka tidak dibenarkan memberikan gred di bawah pada aras minimum meskipun guru merasakan murid tersebut sebenarnya belum mencapai tahap minimum,” katanya.

Berkaitan kemahiran menjawab peperiksaan, Azlin berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 menyebabkan murid-murid tidak lagi menerima latihan secara formal untuk menjawab soalan peperiksaan umum. 

“Sejauh manakah murid-murid kita akan bersedia dalam menghadapi SPM? Apakah mereka akan ada kemahiran menjawab peperiksaan umum? 

“Peperiksaan umum mewujudkan daya saing dalam kalangan murid dan sekolah untuk membuat yang terbaik. Daya saing tersebut menjadi motivasi untuk menumpu kepada pembelajaran supaya berjaya dalam peperiksaan. Sejauh manakah ciri daya saing tersebut dapat diwujudkan untuk Sijil Pelajaran Malaysia?” soalnya. 

Bagi Anuar, dia bersimpati dengan emosi kira-kira 400,000 murid yang sudah membuat persiapan menduduki PT3 sejak dua tahun lalu apabila ia dimansuhkan kurang tiga bulan lagi tempoh ujian itu. 

“Bayangkan kos (termasuk tuisyen) yang sudah dikeluarkan oleh ibu bapa sejak dua tahun lalu untuk mempersiapkan anak-anak untuk PT3? Mungkin ini isu kecil kepada kita, tapi cuba fahami keadaan mereka yang terlibat.

“Selesaikan dahulu isu teknikal dan pengoperasian PBD. Jangan tergesa-gesa mansuhkan PT3. 

“Nanti kucar kacir semuanya. Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”