Saturday, July 2, 2022

Tiada keperluan sidang khas Parlimen bahas RUU anti lompat parti, kata menteri

Ia akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Parlimen Julai depan.

Other News

Tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua majlis.

Sebaliknya beliau berkata rang undang-undang berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya.

Beliau berkata beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Ismail, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas Parlimen bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan kehidupan rakyat.

“Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika mesyuarat khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu beliau berkata penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan lain-lain pihak berkepentingan, termasuk dua jawatankuasa pilihan khas iaitu kewangan dan ekonomi serta keselamatan.

Wan Junaidi berkata pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengikut takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan datang akan memberi masa mencukupi untuk rang undang-undang itu diteliti Ahli Parlimen sebelum ia dibahas, dan katanya perkara itu tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan.

Beliau berkata jika mesyuarat khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan Julai tahun ini memandangkan ketiadaan ramai Ahli Parlimen sebelum pertengahan bulan itu.

Menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang disediakan.

Penyata itu akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles