- Iklan -
Berita

Putrajaya panggil pesuruhjaya tinggi India berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad

Malaysia turut mengalu-alukan keputusan parti kerajaan India yang bertindak menggantung ahli parti yang mengeluarkan kenyataan provokasi itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Wisma Putra memanggil pesuruhjaya tinggi India bagi menyampaikan pendirian berhubung kenyataan menghina Nabi Muhammad oleh ahli politik parti BJP. Gambar: Bernama
Wisma Putra memanggil pesuruhjaya tinggi India bagi menyampaikan pendirian berhubung kenyataan menghina Nabi Muhammad oleh ahli politik parti BJP. Gambar: Bernama

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Selasa, kementerian telah memanggil pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia semalam dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

Malaysia adalah antara negara terkini yang bersama mengutuk tindakan dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.

Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu kenyataan “mengecam dan membantah komen yang disifatkan menghina Nabi Muhammad SAW.”

Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turkiye adalah antara negara yang turut mengecam kenyataan itu.

“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India. Bantahan itu telah dimaklumkan kepada duta India di Jakarta,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia.

BJP telah menggantung dua pemimpin parti itu yang didakwa mengeluarkan komen berbaur hasutan.

Qatar pula telah meminta kerajaan India mengemukakan permohonan maaf.

Jawatankuasa Wakaf dan Parlimen Iraq dalam satu kenyataan menyatakan komen berbaur anti-Islam “boleh memberikan kesan serius dan jika tidak dibendung ia boleh membawa kepada akibat buruk, serta mencetuskan sengketa dan ketegangan”.

Kuwait, Qatar, Iran, Arab Saudi dan Pakistan adalah antara negara terawal membuat bantahan secara rasmi terhadap provokasi itu.

Sementara itu, Universiti Islam tertua, Al-Azhar menyatakan, komen menghina yang dtuturkan menyerlahkan kejahilan mengenai Islam, sejarah dan kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para rasulnya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula menyifatkan tindakan pemimpin BJP itu sebagai sebahagian daripada Islamofobia.

Di Turkiye, jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) Ömer Çelik menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan kepada semua umat Islam.