- Iklan -
Berita

Najib mohon kemuka bukti lanjut batalkan perbicaraan kes SRC

Peguam Najib berkata bukti yang ingin dikemukakan adalah berkait penemuan bahawa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi semalam. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi semalam. Gambar: Bernama

Najib Razak memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

Peguam utama Najib iaitu Muhammed Shafee Abdullah berkata bukti yang ingin dikemuka adalah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 merupakan peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap pengurusan serta pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam syarikat itu.

“Bukti lanjut yang ingin dikemukakan yang diambil secara kumulatif mengesahkan bahawa hakim Nazlan telah terlibat dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai peranan Maybank Investment dalam menasihati penubuhan SRC dalam memikul tanggungjawab beliau sebagai peguam am dan setiausaha syarikat Maybank.

“Hakim Nazlan, berdasarkan kedudukan beliau dan penugasan fungsinya, perlu bertanggungjawab bagi keseluruhan pengendalian semua perkara undang-undang dalam syarikat itu. Kumpulan Maybank adalah termasuk Maybank Investment dan Bina Fikir Sdn Bhd.

“Dalam apa jua keadaan, Hakim Nazlan akan memiliki pengetahuan sebenar mengenai tugas menasihati berhubung isu SRC atau sekurang-kurangnya beliau dianggap memiliki pengetahuan yang konstruktif berdasarkan jawatan beliau,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Shafee berkata beberapa dokumen yang baru-baru ini dibawa kepada perhatian mereka mendedahkan bahawa Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang bertanggunjawab mencadangkan penubuhan SRC International dan Maybank Investment melalui bahagian penasihat strategik milik penuhnya, Bina Fikir, telah ditugaskan melakukan penyelidikan dan perkara nasihat berkaitan penubuhan SRC.

“Penglibatan Maybank melalui Maybank Investment dan Bina Fikir dalam penubuhan SRC tidak pernah dibangkitkan oleh pendakwaan pada mana-mana peringkat perbicaraan kes itu dan tiada saksi daripada Maybank, Maybank Investment serta Bina Fikir Sdn Bhd dipanggil atau ditawarkan oleh pendakwaan,” katanya.

Pada 29 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari dalam bulan Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan itu.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.