- Iklan -
Berita

Mesyuarat Kabinet bincang gunakan dana 1MDB untuk kawasan mereka, kata bekas KSN

Mohd Sidek Hassan berkata semua menteri Kabinet ketika itu adalah ahli BN menjadikan beliau merumuskan 1MDB adalah untuk dana politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Bekas ketua setiausaha negara (KSN) Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau beranggapan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan dana politik bagi Barisan Nasional (BN) kerana terdapat perbincangan antara menteri Kabinet mengenai perkara itu.

Sidek, 71, ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram berkata terdapat perbincangan di dalam mesyuarat jemaah menteri yang menteri digalakkan untuk mencadangkan bagaimana dana 1MDB boleh digunakan untuk membiayai projek di kawasan mereka.

Disoal Sri Ram bagaimana beliau boleh merumuskan bahawa dana 1MDB adalah untuk dana politik BN, Mohd Sidek menjawab, “kerana kesemua menteri (Kabinet) ketika itu ahli BN.”

Sri Ram: Bukankah mesyuarat Kabinet tidak seharusnya membincangkan mengenai parti politik?

Sidek: Saya adalah penjawat awam. Polisi kerajaan adalah polisi parti memerintah, tidak kira parti BN atau apa sahaja namanya. Polisi kerajaan itu sendiri diperoleh daripada polisi parti, sekumpulan parti atau gabungan parti. Jadi, agak sukar untuk membezakan kedua-duanya.

Semalam, Sidek dalam keterangannya memaklumkan, mengikut pemahamannya 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan ketika itu iaitu BN.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata oleh sebab itu, beliau tidak pernah bertanya kepada bekas perdana menteri Najib Razak atau mana-mana pihak dalam 1MDB berkenaan masalah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Disoal lanjut oleh Sri Ram sekiranya Najib pernah mendedahkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai hubungannya dengan seorang lelaki yang dikenali dengan nama “Jho Low”, saksi itu menjawab, “saya tidak ingat”.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.