- Iklan -
Berita

Draf RUU anti lompat parti muktamad, akan dibentang di Parlimen pada Julai, kata menteri

Jika RUU itu dapat dibentang dan diluluskan pada Julai, ia boleh diwartakan seawal Januari depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Draf Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 sudah dimuktamadkan dan dicadang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu dipersetujui secara sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022, semalam.

Menurut Wan Junaidi yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, mesyuarat itu telah bersetuju dan memuktamadkan draf RUU berkenaan untuk dibentang serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata dalam hal itu, lima persoalan dasar dibangkitkan jemaah menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lepas dan telah diulas serta dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen itu dalam mesyuarat semalam.

“Maklum balas jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan perkara ini akan dibawa semula sebagai suatu nota jemaah menteri dalam mesyuarat jemaah menteri akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi memaklumkan mesyuarat terakhir berkenaan perkara tersebut akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata jawatankuasa pilihan khas.

Beliau berkata secara umumnya, jawatankuasa pilihan khas itu telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lepas.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama oleh semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini RUU berkenaan dijangka dibentangkan seawal pertengahan Julai iaitu ketika Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kelima bermula 18 Julai.

Jika RUU itu dapat dibentang dan diluluskan pada sidang tersebut, ia boleh diwartakan seawal Januari depan.