- Iklan -
Berita

Bekas diplomat, anak didakwa tanam 102 pokok ganja

Zainal Abidin Alias dan Mohamed Rizal berdepan hukuman penjara dan rotan jika sabit kesalahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pertuduhan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan. Gambar: AFP
Pertuduhan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan. Gambar: AFP

Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menanam pokok ganja, bulan lepas.

Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Dua beranak itu didakwa bersama-sama telah menanam sejumlah 102 pokok ganja di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pengarah pendakwaan Mohammad Khalid Ab Karim, timbalan pendakwa raya Hayda Faridzal Abu Hassan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh manakala Rahmat memberitahu pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 2 Jun lepas berhubung pertuduhan terhadap anak guamnya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Julai.

Pada Jumaat lepas, mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas pertuduhan mengedar 1,020 gram dadah jenis ganja dan menyimpan 60 mililiter minyak ganja dan bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B akta sama yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, Rizal juga berdepan pertuduhan menggunakan dadah jenis THC di pejabat narkotik, ibu pejabat Polis Bentong pada 8.40 malam, 23 Mei lepas.