- Iklan -
Berita

Sarawak teroka bahan api bio berasaskan alga sebagai sumber tenaga lestari

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Sarawak mampu melakukannya kerana negeri itu kaya dengan sumber asli.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Sarawak sedang mengkaji untuk mengeluarkan bahan api bio berasaskan alga sebagai sebahagian daripada usahanya membangunkan tenaga yang lestari.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata negeri itu mampu menghasilkan alga kerana ia kaya dengan sumber asli.

“Kita akan lihat bagaimana kita boleh hasilkan (lumut) ini di kawasan pantai kita,” katanya pada satu majlis di Kuching hari ini.

“Kita mempunyai hutan bakau dan cuaca yang baik. Kita boleh gunakan karbon dioksida sebagai pelarut untuk mengekstrak minyak daripada alga.”

Beliau turut menambah bahawa alga boleh ditanam walaupun dalam tangki.

Menurutnya, syarikat kapal terbang ketika ini “mencari sumber bahan api yang lestari”.

“Kita ada sumber, ia hanya soal kreativiti dan proses yang boleh digunakan untuk pengeluaran besar-besaran,” tambahnya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menubuhkan makmal bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan bahan api bio berasaskan alga itu.

“Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak akan bekerjasama dengan penyelidik untuk meneroka cara baru penanaman alga,” katanya.

“Apabila kita mempunyai makmal dan ia terbukti, kita akan melihat bagaimana kita boleh menanam alga di seluruh kawasan pantai kita.

“Bayangkan sebaik sahaja kita sudah ada pengeluaran alga secara besar-besaran, berapa banyak gelen bahan api bio yang boleh kita hasilkan.”