Monday, July 4, 2022

Penolong akauntan kanan didakwa minta suapan berkait kerja pemasangan karpet

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan ke atas syarikat yang secara tidak langsung mempunyai kepentingan dengan suaminya.

Other News

Seorang penolong akauntan kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berkaitan kerja pemasangan karpet pada Januari tahun lepas.

Tertuduh Sazawati Salleh, 49, didakwa menggunakan jawatannya sebagai penolong akauntan kanan Majlis Daerah Marang untuk mendapatkan suapan ke atas syarikat yang secara tidak langsung mempunyai kepentingan dengan suaminya.

Dia dituduh telah mengambil tindakan mencadangkan sebut harga Edaran Sepakat Trading untuk menjalankan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai bahagian kewangan Majlis Daerah Marang yang bernilai RM10,640.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Januari 2021 di bahagian kewangan Majlis Daerah Marang (MDM) di Marang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan wanita itu menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM serta perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Kes akan disebut semula pada 17 Julai ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles