- Iklan -
Berita

Kelulusan SC untuk CTOS ambil alih RAM dikritik menjelang AGM 9 Jun

Penganalisis dan pemerhati pasaran memberi amaran kredibiliti RAM Holdings akan dipertikaikan sebagai agensi penarafan kredit.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Suruhanjaya Sekuriti telah digesa untuk menyemak semula kelulusan yang diberikan kepada CTOS Digital untuk mendapatkan pegangan saham RAM Holdings kerana dijangka akan menjejaskan persepsi pasaran modal.
Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Suruhanjaya Sekuriti telah digesa untuk menyemak semula kelulusan yang diberikan kepada CTOS Digital untuk mendapatkan pegangan saham RAM Holdings kerana dijangka akan menjejaskan persepsi pasaran modal.

Sebarang langkah untuk membenarkan entiti tunggal komersial memiliki pegangan kepentingan majoriti dalam RAM Holding mengundang kritikan penganalisis dan pemerhati pasaran, yang memberi amaran kredibiliti agensi penarafan kredit itu akan dipertikaikan.

Ia timbul selepas agensi penarafan kredit itu mempertahankan rancangan CTOS Digital untuk meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) RAM yang akan diadakan pada Khamis.

Kelulusan untuk CTOS meningkatkan pegangan sahamnya adalah daripada Suruhanjaya Sekuriti, seperti yang didedahkan MalaysiaNow minggu lepas melalui satu lampiran cadangan yang dimasukkan bersama dalam notis AGM.

Sebahagian pemain pasaran modal melihat langkah itu boleh menjejaskan kredibiliti RAM sebagai rujukan bagi pasaran modal.

Bagi meningkatkan pegangan sahamnya, CTOS dilaporkan mesti terlebih dahulu mengatasi halangan undang-undang untuk membuat tindakan sedemikian, termasuklah dengan mengadakan AGM bagi meluluskan pindaan perlembagaan yang akan menarik balik larangan ke atas mana-mana entiti tunggal untuk memiliki lebih dari 20% saham dalam agensi penarafan kredit itu.

RAM juga turut mempertahankan rancangan itu, mengatakan terdapat beberapa “langkah perlindungan utama” dalam operasi hariannya.

“SC tidak akan memberikan kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjangkaui had yang ditetapkan ini jika ia dilihat memudaratkan kepentingan utama agensi penarafan kredit dan pasaran bon.

“Semua pengarah termasuk ketua eksekutif, timbalan ketua eksekutif dan ahli jawatankuasa penarafan adalah tertakluk di bawah kelulusan SC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif RAM Holdings, Chris WK Lee dalam responsnya terhadap laporan MalaysiaNow.

RAM ditubuhkan oleh Bank Negara pada 1990 bagi menyokong pasaran modal tempatan, dan dianggap sebagai peneraju industri dalam penarafan kredit.

Sejak ditubuhkan, pendapat kreditnya menjadi rujukan penting bagi bank serta pengawal selia kewangan.

Langkah pengambilalihan syarikat itu oleh CTOS menimbulkan persoalan sama ada RAM boleh berlaku adil dalam memainkan peranannya sebagai agensi penarafan kredit.

“Sebagai agensi penarafan bebas, struktur pegangan saham RAM sepatutnya dirangka tanpa menjejaskan kredibiliti organisasi tersebut,” kata Devaneson Evanson yang merupakan ketua pegawai eksekutif  Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) – sebuah badan yang dibentuk sebagai sebahagian daripada rangka kerja pasaran modal yang lebih luas untuk melindungi kepentingan pemegang saham minoriti .

Katanya, sebarang perubahan terhadap struktur pegangan saham itu boleh menjejaskan “kebebasan” agensi tersebut dan menghasilkan potensi ke arah konflik kepentingan.

“Struktur sedia ada yang mengehadkan pegangan saham tidak melebihi 20% memastikan supaya tiada pihak boleh kawal syarikat itu.

“Jika satu entiti mengawal RAM, terdapat risiko bahawa entiti itu boleh mempengaruhi RAM dan untuk membuat keputusan mengikut kehendak mereka.”

Dalam keadaan sedemikian, Devanesan menegaskan “perlu ada satu sistem yang kukuh dan memantau serta mengawal risiko tersebut.”

Sementara itu, semakan dengan mereka yang biasa dengan pasaran ekuiti tempatan berkata komposisi pemegang saham RAM sudah menjadi bualan dalam kalangan pemain industri, yang bimbang akan peningkatan kawalan satu entiti tunggal ke atas agensi penarafan kredit itu.

Salah seorang daripada mereka merujuk jejak pemilikan saham yang mempunyai kaitan dengan seorang individu.

“Sekurang-kurangnya dua syarikat dikaitkan dengan individu ini, dan kedua-dua syarikat sudah digabungkan dan mempunyai kepentingan besar dalam RAM,” katanya sambil mempersoalkan apakah SC menyedari perkara tersebut.

“Dalam kes sedemikian, ia sudah jelas melanggar perlembagaan RAM,” tambahnya.

Berhubung tindakan RAM yang mempertahankan rancangan, sumber turut berkata kelulusan SC kepada CTOS untuk meningkatkan pemilikan sahamnya dalam RAM menyebabkan wujud satu “duluan yang membimbangkan”.

“Tiada cara untuk halang mana-mana pemilik baru daripada melucutkan aset dan menjual kepada orang lain sebaik sahaja ia (pengambilalihan) berlaku ”.

Sumber itu juga menggesa kelulusan dengan cara meneliti kes demi kes ke atas setiap pemegang saham penting baru.

“Namun kini, ia mungkin boleh jadi sesiapa sahaja selepas ini.”

Setakat ini, MalaysiaNow sudah menghubungi SC dan CTOS bagi mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap BNM menjawab: “Kami tidak mempunyai sebarang ulasan mengenai perkara ini.”

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa SC memberikan kelulusannya untuk CTOS memiliki saham majoriti dalam RAM pada 28 April 2022, selain sebarang kenaikan saham seterusnya.

CTOS turut merancang untuk meningkatkan modal sahamnya dalam RAM kepada 19.25%, yang menyaksikan peningkatan daripada hanya 4.625% yang diperolehnya tahun lepas.

Permohonan untuk meminda had pemilikan saham semasa RAM akan diletakkan di bawah “urusan khas” pada AGM yang akan diadakan.

Cadangan itu turut megundang kebimbangan beberapa pengurus dana dan bank, di mana mereka menyifatkannya sebagai “melemahkan RAM secara berperingkat” sejak beberapa tahun lalu, merujuk kepada entiti bukan perbankan dan asing yang membentuk lebih 10 pemegang saham dalam agensi itu.

Kebimbangan itu turut bertambah selepas mereka mendapati wujud potensi konflik kepentingan beberapa individu dalam CTOS.

“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas bukan eksekutif CTOS mempunyai kedudukan dalam ahli lembaga pengarah SC,” kata penganalisis pasaran modal kepada MalaysiaNow.

“Justeru, apabila hanya CTOS yang diberikan kebenaran untuk memiliki pegangan lebih 51% dalam RAM, ia bukan sahaja sebuah konflik, tetapi juga membunuh integriti sektor kewangan Malaysia, terutama apabila laporan kreditnya mempunyai implikasi dalam pasaran bon.”


April lalu, CTOS membeli 910,000 saham biasa dari RAM pada harga RM25.06 juta, bertukar pemilikan dari OCBC Bank, Affin Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank.

Sementara itu, seorang pakar ekonomi kanan menggesa SC menyemak semula kelulusannya kepada CTOS untuk mengambil alih RAM, mengatakan ia akanakan menjejaskan persepsi penggiat industri terhadap pasaran tempatan.

“Sebab pemegang saham majoriti ada ‘say’ (boleh tentukan), kadang-kadang ini akan menjadi bias,” kata Zulkiply Omar, yang merupakan Felo Kanan di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya (UM).

“Sekiranya pegangan dihadkan kepada 20% atau kurang daripada jumlah itu, ia akan menjadi suara minoriti, justeru perlu bergantung kepada suara majoriti (pemegang saham lain).

“Tetapi jika ada satu entiti yang menjadi majoriti, maka entiti itu akan tentukan.”