- Iklan -
Berita

Muhyiddin cadang persefahaman, bukan gabungan parti lawan BN pada PRU15

Presiden Bersatu itu juga turut menafikan dakwaaan yang mengatakan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengusulkan cadangan persefahaman berbanding gabungan politik antara parti bagi berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

Beliau berkata siri pertemuannya bersama beberapa pemimpin parti  politik selain BN adalah bagi merintis persefahaman antara ahli politik pembangkang selepas Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu, di mana BN berjaya menang besar bagi kali kedua pada PRN.

“Formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik,” katanya. 

“Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor..” 

Pada April lalu, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional berkata beliau telah memulakan inisiatif untuk bertemu dengan pemimpin utama parti politik kerajaan dan pembangkang sebagai langkah awal untuk mendapatkan pandangan bagi sebuah kerjasama politik. 

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun pemimpin politik yang ditemuinya percaya walaupun majoriti rakyat tidak menyokong BN kerana imej kleptokrat yang ditonjolkannya, namun undi parti-parti selain BN berpecah kerana pertandingan banyak penjuru antara parti politik.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata cadangan persefahaman pilihan raya yang diusulkan beliau mesti diasaskan kepada satu agenda bersama bagi memastikan negara tidak kembali dikuasai kumpulan kleptokrat yang disifatkannya sedang “menguasai BN”.

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.” katanya. 

Beliau turut menolak dakwaan yang kononnya beliau mendakwa memiliki sokongan majoriti untuk dilantik semula sebagao perdana menteri sekali lagi.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen,” katanya. 

“Apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan saya dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain BN adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi PRU15.” 

Muhyiddin menjadi perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Beliau meletakkan jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menarik sokongan mereka terhadapnya di Parlimen.