- Iklan -
Berita

Bagaimana kemiskinan memaksa rakyat Kelantan mengedar dadah

Ramai yang terlibat dengan dunia jenayah berasal daripada keluarga miskin dan berkata tidak mempunyai pilihan lain.

Nur Hasliza Mohd Salleh
5 minit bacaan
Kongsi

Rumah usang, tandas yang daif di tepi rumah dan riuh suara kanak-kanak menyelubungi ketika bertemu dengan seorang pemuda berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Din.

Din merupakan anak jati sebuah kampung di daerah Tumpat, Kelantan.

Keadaan Din pula, berbeza dengan situasi dan status ahli keluarganya di dalam rumah tersebut.

Din memarkir kereta Volkswagen Golf berwarna putih, sebuah kereta idaman orang muda kerana kelajuan dan kuasa kudanya, sambil menghisap rokok elektronik di pangkin rumah.

Kini, dia tidak lagi menetap di situ.

Apa yang menjadikan Din kelihatan mewah dan sungguh bergaya?

Din merupakan seorang pengedar dadah sejak berusia 15 tahun.

Kegiatannya bermula sejak di bangku sekolah lagi apabila dia tidak mampu untuk membayar yuran dan membeli keperluan sekolah.

Kesusahan itu membawa Din kepada seorang “senior” yang dikenalinya sebagai Abe Wan yang menawarkan kerja sambilan untuk menemaninya menghantar “barang” ke Gua Musang sebanyak dua kali seminggu.

Kata Din, setiap kali selesai satu trip perjalanannya, dia akan menerima bayaran sekitar RM500 hingga RM800.

Dalam sebulan, dia boleh meraih pendapatan sampingan kira-kira RM4,000.

“Kadang kala, bukan Gua Musang sahaja. Tempat lain pun ada. Sampai Kuala Lumpur. Di KL, Abe Wan belikan saya baju mahal, kasut mahal,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lagi keraplah saya pergi ikut dia hantar barang. Saya tak tahu barang apa yang dihantar sebab kereta kosong.

“Saya tak boleh agak dia edar dadah. Tapi dah ramai kawan-kawan bagitahu dia buat kerja tak betul.”

Dengan pendapatan lumayan, Din yang ketika itu berada di Tingkatan Tiga mampu membelikan barangan dapur dan belanja sekolah untuk adik-adiknya yang lain.

Ibunya yang menghidap kencing manis pada tahap serius tidak lagi mampu untuk berkerja.

Hanya sekadar mengambil upah membersih dan mengemas rumah orang dengan kadar bayaran RM70 bagi sebuah rumah.

Ayahnya pula tidak bekerja dan gemar mengutip barangan di jalanan untuk dijual.

Ketiadaan wang untuk menyediakan makanan kepada seisi rumahnya menyebabkan Din merayu untuk bekerja dengan Abe Wan.

“Masa tu saya tahu memang betullah saya kena jual barang tu. Saya bawa barang tu dan jual selepas habis waktu sekolah.

“Tak lama lepas tu, ada cikgu-cikgu yang tahu, mereka pun beli dengan saya. Masa yang sama, mereka pun ngepek (bebel) saya malas belajar.”

Sejak tahun 2014, Kelantan dicatatkan menjadi negeri yang mengalami masalah penyalahgunaan dan penyeludupan dadah paling serius dalam negara.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati seramai 12,703 individu dikesan menjadi “hamba” dadah dalam tempoh lima tahun sejak 2014.

Angka tersebut diramalkan terus meningkat ekoran tangkapan besar-besaran hampir setiap bulan oleh pasukan polis dan agensi berkenaan.

Ayah kerja dengannya

Din kemudiannya berhenti sekolah pada awal Tingkatan Lima dan aktif bekerja di bawah seliaan Abe Wan.

Namanya sudah mula dikenali dan dia mempunyai ramai pelanggan di dalam negara dan beberapa
kawasan di selatan Thailand.

“Kalau saya tak buat kerja tu, awak boleh bagi saya RM4,000 sehari? Tak boleh kan? Baik saya kerja. Ibu ayah saya boleh makan. Adik-adik saya boleh beli lampin, susu.”

Ketika itu, Din turut merekrut beberapa “anak buah” untuk bekerja di bawahnya dan ditugaskan menghantar dadah seperti ganja, pil kuda dan ubat batuk kepada pelanggan.

Sementara itu, Din tidak lagi memegang stok dadah, dia hanya memberikan arahan dan mengutip pesanan daripada pelanggan.

Lebih mengejutkan lagi, ayah Din turut bekerja menjual dadah untuknya.

Sejak ayahnya aktif menjalankan kegiatan haram itu, kata Din, kualiti hidup ayahnya berubah.

Dia mula dikenali oleh rakan-rakan seusianya dan saudara mara mula menjadi rapat.

Apatah lagi apabila ayahnya mampu memberikan duit kepada adik-beradik yang hidup susah dan seringkali belanja kawan-kawan makan di restoran mewah.

“Ayah saya pun masa kerja dengan saya. Dia hantar barang tu naik Mercedes yang saya beli.

“Saya beli kereta sakit saja masa tu,” katanya merujuk kepada kereta yang ditarik oleh pihak bank dan dibawa lari oleh ejen ke kawasan lain.

Pada tahun 2017, ayah Din ditembak mati oleh pihak berkuasa Thailand ketika pulang dari sebuah kelab malam di negara tersebut.

Ayahnya menjadi buruan pihak berkuasa negara itu selama tiga tahun kerana menyeludup dan mengedar dadar.

Mayatnya pula hanya dijumpai di tepi Sungai Golok oleh penduduk setempat.

“Masa tu saya rasa nak berhenti sebab takut. Saya minta kerja kat Kota Bharu ni, dalam pusat beli belah. Tak sampai sebulan.

“Tak boleh buat kerjalah, perangai orang macam-macam. Mengelat, ada yang kaki kipas. Mengadu domba. Baik saya jual dadah.”

Din berkata, dia tidak lagi dibenarkan masuk ke negara Thailand sejak 2018, selepas beberapa pihak memberitahu nama dan gambarnya sudah berada dalam pemerhatian dan senarai paling dikehendaki pihak berkuasa di negara seberang.

“Saya takut. Memang takut. Bukan takut biasa-biasa kak. Saya tidur, tengah malam bunyi kereta lalu pun saya terjaga , lari duduk bawah meja.

“Mana tahu polis datang.”

Fikir masa depan

Pada hujung tahun 2019, Din mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihannya.

Sejak itu, Din mula memikirkan masa depan isteri dan anak-anaknya yang makin membesar.

“Kalau saya kena tangkap. Kena penjara dan (hukuman) gantung. Kesian anak dan isteri. Sekarang saya memang buat kerja tu, tapi saya bersih kak. Saya tak pegang langsung barang-barang tu.

“Kalau ada yang nak, mereka akan hubungi saya sebab mereka ada nombor telefon saya lagi. Lepas tu saya akan pass pesanan kepada pengedar yang aktif. Saya dapat la komisyen sikit.

“Tapi kalau sendiri pegang, sendiri jual dan sendiri hantar. Tak ada. Saya dah tak buat.”

Din bersetuju untuk membawa MalaysiaNow kepada seorang kenalannya yang baru sahaja tamat hukuman penjara di bawah akta Dadah Berbahaya selama empat tahun.

Di sebatang jalan di tengah-tengah bandar Kota Bharu, kami berjumpa Mek Cah (bukan nama sebenar), 41, seorang ibu kepada tiga orang anak.

Kisah Mek Cah juga tidak jauh bezanya dengan Din.

Mek Cah tidak mempunyai dokumentasi kenegaraan yang lengkap menyukarkan dia untuk masuk ke sekolah dan mendapat peluang pekerjaan.

Sejak kecil, dia dibesarkan dalam rumah kecil dan berpindah randah kerana tidak mampu membayar sewa bulanan.

Dia membesar bersama 11 orang adik-beradik beradik yang juga terpalit dengan isu tiada kerakyatan.

Tetapi pada usia 16 tahun, hanya empat orang adik-beradik tinggal bersamanya.

Yang lain, katanya, sudah “dijual” sebagai anak angkat dan dikahwinkan.

Akibatnya, seawal usia 16 tahun, Mek Cah sudah berjinak dengan ganja dan menjualnya kepada rakan-rakan lelaki di kampung.

Alasannya, dia tidak mahu berpisah lagi dengan adik-adiknya kerana wang.

Selama lebih 10 tahun menjalankan kegiatan itu, dia berkahwin dengan seorang “tauke dadah” yang berpangkalan di Kota Bharu.

Mek Cah menyifatkan kehidupannya tidak ubah seperti “puteri raja” kerana dilimpahi wang ringgit dan barang kemas yang tidak terkira jumlahnya.

“Tak ada pilihan. Saya kena jual. Saya tak nak tengok adik-adik saya kena hina. Kena jual suruh kahwin. Bila saya jual benda tu, dapat belikan adik saya baju. Bagi mereka duit keluar berjalan-jalan dengan kawan-kawan.

“Kalau saya tak buat kerja tu. Siapa nak bagi kami makan? Cakap senang la, duit haram. Tak betul cara. Kalau betul cara, yang bercakap tu datanglah tolong.”

Mek Cah akhirnya diberkas polis pada tahun 2017 dan dijatuhi hukuman penjara beberapa bulan selepas itu.

“Polis tangkap saya masa tu depan sekolah ambil anak saudara. Tak ada barang dengan saya. Di rumah pun memang tak simpan barang. Suami kena tangkap hari yang sama di Pasir Puteh. Saya kena di sini.

“Masa siasatan saya memang bagi kerjasama dan mengaku pernah buat semua kerja tu. Tapi selepas bersalin, saya fokus jaga anak dan memang kat rumah sahaja.

“Suami masih di dalam.”

Mek Cah mengeluh menceritakan nasibnya yang kini perlu menyara keluarga kerana suaminya masih menjalani hukuman dan tertangguh hukuman gantung sampai mati.

Dia pula baru saja keluar penjara beberapa minggu sebelum bulan puasa baru-baru ini.

Mek Cah berkata, setakat ini dia hanya mampu untuk mengambil upah membuat sulaman manik pada tudung dengan kadar upah RM7 untuk sehelai tudung.

Dengan itu, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1200 sebulan.

Tetapi bayaran pinjaman peribadi untuk membuat rumahnya sebanyak RM4,500 sebulan dan pinjaman masih berbaki lebih 10 tahun.

“Macam mana saya nak hidup tengok anak-anak susah? Saya tak makan tak apa. Anak tak makan, saya boleh jadi gila.

“Kalau keadaan terdesak, saya tak peduli. Saya kena buat balik kerja tu.

“Itu sahaja yang mudah. Tapi saya kena sedia tanggung risiko.”