- Iklan -
Berita

Kembali kepada asas selepas 2 tahun persekolahan era pandemik

Pakar pendidikan berkata asas kemahiran membaca, menulis dan mengira mesti diberikan keutamaan sebelum murid boleh ke tahap pembelajaran seterusnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sejak sekolah mula dibuka semula Mac lalu, dilaporkan masih ramai murid Tahun Satu masih tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
Sejak sekolah mula dibuka semula Mac lalu, dilaporkan masih ramai murid Tahun Satu masih tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

Pakar pendidikan menggesa pelan pemulihan pendidikan negara dilaksanakan bagi menangani masalah keciciran murid setelah berdepan penutupan sekolah selama hampir dua tahun di Malaysia ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

Penutupan sekolah bagi membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan pembelajaran terganggu selama lebih dua tahun, sehingga menjejaskan kemajuan akademik, terutama bagi pelajar di kawasan luar bandar dan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sejak sekolah dibuka awal bulan Mac, ada murid-murid Tahun Satu dilaporkan masih tidak boleh membaca.

Mereka tentunya akan terbeban dengan tugasan lain yang jauh lebih mencabar berbanding membaca.

Ia ditambah dengan silibus sekolah rendah yang saban tahun semakin berat.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ada juga ibu bapa yang merungut mengenai tahap kesukaran silibus pembelajaran yang dikhuatiri tidak mampu digarap oleh murid sekolah rendah.

Malaysia antara negara yang paling lama menutup sekolah ekoran pandemik Covid-19.

Mengikut statistik kementerian pendidikan, seramai 21,316 orang atau 0.22% murid direkodkan berhenti sekolah atau tercicir pendidikan bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata, pelan pemulihan pendidikan negara diperlukan bagi menangani masalah tersebut.

“Kita kembali kepada 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Pastikan kemahiran ini dikuasai semua murid,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pelan pemulihan ini wajar memberi fokus rombakan kurikulum di sekolah rendah.”

Katanya, sekolah perlu memastikan semua murid yang berada di sekolah rendah menguasai beberapa kemahiran, terutamanya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Katanya, isu keciciran menyebabkan pelajar di darjah satu hingga tiga tidak menguasai kemahiran 3M dan dikhuatiri akan terbawa-bawa sehingga ke sekolah menengah.

Secara umumnya, pendidikan sekolah rendah terbahagi kepada tahap satu yang terdiri daripada murid tahun satu hingga tiga, dan tahap dua yang terdiri daripada murid tahun empat hingga enam.

“Kalau kita tidak selesaikan isu 3M ini, pelajar berdepan dengan masalah pembelajaran dan hilang motivasi apabila naik ke kelas seterusnya.

“Fokus dalam pembelajaran akan turun dan mereka akan gagal dalam pendidikan,” katanya.

Kata Anuar, rombakan itu juga wajar kerana struktur kurikulum masih sama seperti zaman 70-an.

Ia menyebabkan pengalaman pembelajaran menjadi bosan.

“Kita belum memulakan rombakan dan masih kekal dengan bentuk lama yang kita warisi.

“Kita inginkan mereka belajar dengan seronok, merasakan pelajaran yang memberi makna,” katanya.

Memetik contoh negara-negara maju, Anuar berkata untuk murid-murid sekolah rendah tahap satu, anak-anak diberi peluang untuk beradaptasi dan menerima kemahiran asas sebelum memulakan pendidikan yang lebih besar.

Katanya, murid-murid sekolah rendah hanya memerlukan lima subjek mata pelajaran sahaja.

“Kalau kita hendak mengajar subjek seperti sains, geografi dan pengetahuan am, topik-topik ini boleh dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu atau Inggeris.

“Kita tambah elemen apabila sudah capai tahap dua namun kekalkan sahaja jumlah subjek,” katanya.