Monday, July 4, 2022

Di Sarawak, masih tiada jalan keluar buat gelandangan, pesakit mental

Kurang kemudahan buat pesakit mental dan isu bidang kuasa agensi, negeri dan kementerian persekutuan adalah antara cabaran utama.

Other News

Di Bintulu, Sarawak, sekumpulan lelaki kelihatan sedang berjalan, daripada mereka itu ada yang sedang mencari sesuatu dan ada juga yang seakan tiada arah tujuan di lorong-lorong bandar itu.

Bila malam tiba, mereka akan berbaring di atas kepingan kadbod yang dibentangkan di kaki lima jalanan.

Mereka itu jugalah yang dilihat duduk meminta sedekah bersama barangan yang sentiasa diangkut ke mana sahaja.

Ini merupakan pemandangan biasa bagi penduduk bandar minyak dan gas itu.

Ramai daripada gelandangan di bandar itu pada asalnya datang dari luar bandar bagi mencari pekerjaan di Bintulu.

Pada awal 1980-an, mereka beramai-ramai berhijrah ke Bintulu dan mendiami kawasan setinggan di tengah-tengah bandar itu.

Namun, pada tahun 1987, kawasan setinggan tersebut dirobohkan dan penduduknya berselerak di seluruh bandar.

Pandemik yang melanda menyukarkan hidup gelandangan, di mana ada daripada mereka mula menunjukkan sikap agresif terhadap orang ramai.

Mereka dilihat merayau di jalanan dalam keadaan separuh bogel, bercakap seorang diri, bahkan ada yang membawa pisau atau parang.

Tanpa tempat berteduh dan tiada kemudahan yang boleh mereka gunakan, mana-mana kaki lima akan menjadi rumah persinggahan golongan ini.

Kadangkala, mereka juga boleh bertindak ganas.

“Awal tahun ini, seorang gelandangan memukul seorang pemandu tanpa sebab dengan sebatang kayu,” kata aktivis Francis Ngu kepada MalaysiaNow.

“Dia lalu kawasan jalan itu dan pukul pemandu itu dengan tidak semena-mena.”

Sakit mental

Insiden seperti ini mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan gelandangan yang menghidap penyakit mental.

Menurut Ngu, biasanya orang awam akan melaporkan kepada jabatan kebajikan mengenai golongan ini.

Namun, katanya tiada tindakan jangka panjang diambil berhubung isu tersebut.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Fatimah Abdullah mengakui peningkatan bilangan gelandangan dan pesakit mental di Bintulu.

Orang kurang upaya menggunakan kerusi roda di jalan raya Bintulu.

Bintulu mencatatkan jumlah tertinggi kes seumpama itu sebanyak 48 kes.

Ia diikuti Kuching (31), Sibu (28) dan Miri (24) dan bandar-bandar lain di seluruh Sarawak.

Setakat Disember tahun lalu, seramai 158 gelandangan dilaporkan di Sarawak secara keseluruhan.

Kajian kementerian mengenai punca gelandangan menunjukkan 38% kes berpunca daripada masalah keluarga, 33% mempunyai masalah kesihatan mental, 12% tidak mempunyai tempat tinggal, 10% adalah pemabuk, dan 5% adalah penganggur.

Walaupun jabatan kebajikan bertanggungjawab dalam menangani isu gelandangan, namun timbul kerumitan ketika badan itu berdepan kes melibatkan penyakit mental.

“Kes masalah kesihatan mental adalah di bawah bidang kuasa kementerian kesihatan,” kata Fatimah kepada MalaysiaNow.

“Jabatan kebajikan tidak dapat menyediakan penjagaan dan sokongan yang sewajarnya kepada pesakit mental. Kami tidak mempunyai institusi, dan pegawai tidak terlatih dalam bidang ini.”

Rawatan

Di Kuching, wujud satu kemudahan khusus untuk penjagaan pesakit mental iaitu Hospital Sentosa.

Bagaimanapun, menurut Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, rawatan turut disediakan bagi masalah kesihatan mental di semua klinik dan hospital kerajaan di negeri ini.

Presidennya, Dr Ismail Drahman berkata Sarawak sudah melangkah jauh dalam hal ini.

“Dua puluh tahun lalu, perkhidmatan ini agak kurang dan kami tidak mempunyai tenaga yang mencukupi,” katanya.

“Tetapi sekarang, di mana-mana ada.”

Kemampuan kewangan untuk mendapatkan rawatan juga tidak menjadi masalah bagi keluarga berpendapatan rendah kerana mereka hanya dikenakan beberapa ringgit sahaja untuk pendaftaran.

“Sama ada RM1 atau RM5, dan jika mereka tidak mampu, mereka tidak perlu membayar,” kata Ismail.

“Jadi, kos rawatan adalah percuma.”

Katanya, di hospital bukan pakar, pesakit akan dirujuk ke institusi yang mempunyai kepakaran psikiatri.

“Penyakit itu kemudiannya boleh distabilkan bagi mengelak mereka menjadi keliru atau mendatangkan masalah kepada orang ramai atau keluarga mereka,” tambah Ismail.

Namun, katanya, kemudahan kesihatan mental di Sarawak perlu ditingkatkan.

“Di Bintulu dan beberapa kawasan lain, kita tidak mempunyai kemudahan untuk pesakit tua kerana pihak hospital hanya menyediakan rawatan bagi pesakit parah.”

Beliau menambah, sebaik sahaja pesakit stabil, mereka akan dipulangkan kepada keluarga yang sepatutnya memantau keadaan kesihatan pesakit selain menjaga mereka.

Namun, kemungkinan untuk mereka kembali sakit selalu ada.

Fatimah berkata jabatan kebajikan berusaha untuk mengesan seramai mungkin gelandangan di Sarawak.

Katanya, penting untuk pihaknya mengenal pasti punca kehilangan tempat tinggal dalam kalangan gelandangan bagi mencari penyelesaian masalah yang dihadapi mereka.

“Kadangkala, jabatan kesihatan akan beritahu kami seseorang itu sudah dirawat dan diberi ubat,” katanya.

“Kemudian, ke mana mereka harus pergi?”

Bagi Fatimah, isu tersebut adalah perkara yang perlu ditangani kementerian dengan kerjasama NGO dan keluarga pesakit.

“Kita perlu bekerjasama,” katanya.

“Kita perlu cari jalan penyelesaiannya secara bersama-sama.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles