Saturday, July 2, 2022

Bekalan ubat terkawal, elak pembelian panik, kata KKM

Menurut KKM, kekurangan ubat yang berlaku adalah tidak serius dan hanya melibatkan jenama tertentu.

Other News

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik bagi ubat-ubatan kerana kekurangan yang berlaku tidak serius, malah hanya melibatkan jenama tertentu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali.

Beliau  berkata pihaknya memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dalam negara secara amnya masih terkawal.

“Kita perlu faham bahawa keberkesanan ubat-ubatan untuk merawat sesuatu penyakit adalah sama tanpa mengira jenama ataupun syarikat pengeluar.

“Contohnya, untuk penyakit darah tinggi ada banyak jenama. Ada yang dipatenkan, ada yang generik dan semua itu berkesan kerana jika ubat jenama A tiada, boleh ganti dengan ubat jenama B,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM sentiasa memantau situasi itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak cuba mengambil kesempatan memanipulasikan harga ubat-ubat di pasaran.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Noor Azmi berkata tema sambutan Bulan Pemakanan Malaysia tahun ini adalah “Perangi Covid-19 dan NCD (penyakit tidak berjangkit) dengan Makan Secara Sihat” dan pemilihannya selari dengan masalah berkaitan NCD yang sekian lama membelenggu negara.

“Sambutan ini diadakan dengan harapan ia dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan makan secara sihat dalam memerangi pelbagai jenis penyakit berjangkit ataupun tidak berjangkit,” katanya.

Beliau berkata Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia dewasa mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

“Ini sangat berbahaya kerana ia mendatangkan pelbagai penyakit, mengurangkan produktiviti dan memberi beban kepada perkhidmatan rawatan kesihatan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles