Saturday, July 2, 2022

Tiada lagi subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sebaliknya, ia akan disalur secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan.

Other News

Bermula 1 Julai ini, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada penternak ayam sebaliknya ia akan disalur secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan bebanan kenaikan harga ayam tidak terlalu dirasai dengan adanya sumbangan tunai daripada kerajaan.

Perdana menteri berkata sebelum ini dalam usaha memastikan harga ayam tidak dinaikkan, kerajaan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal pada paras RM8.90 sekilogram kerana ia boleh mencecah RM12 sekilogram, jika harganya diapungkan.

“Kerajaan belanja RM720 juta bagi memastikan harga ayam tidak dinaikkan. Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan,” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu semalam.

Bagaimanapun, Ismail berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee akan memperinci pengumuman baru itu.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan buat masa ini bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga dapat distabilkan.

Antaranya menggalakkan kegiatan industri agromakanan seperti pemeliharaan ayam dan tanaman jagung bijirin dengan menubuhkan tabung agromakanan sebanyak RM500 juta bagi pemberian pinjaman mudah kepada pemain industri.

“Kita juga akan kenal pasti pertubuhan peladang atau koperasi yang terlibat dalam projek agromakanan untuk dibantu dari segi kewangan.

“Kerajaan juga mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan. Kerajaan turut mengkaji insentif cukai yang akan diberikan kepada pemain industri agromakanan,” katanya.

Ismail berkata kerajaan juga telah menghentikan eskport ayam ke luar negara dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan dalam negara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles