- Iklan -
Berita

SPRM pertimbang permohonan Perancis berhubung skandal rasuah MRT KL zaman Najib

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihak berkuasa Perancis sudah pun memohon Mutual Legal Assistance (MLA) berhubung skandal MRT KL.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail kerja-kerja pembinaan MRT 2 sedang dilakukan.
Gambar fail kerja-kerja pembinaan MRT 2 sedang dilakukan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya sedang meneliti permohonan pihak berkuasa Perancis berhubung siasatan mengenai penipuan dan rasuah melibatkan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT) semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihak berkuasa negara itu sudah pun memohon Mutual Legal Assistance (MLA) berhubung skandal MRT KL.

Bagaimanapun, katanya, permohonan itu perlu melalui Jabatan Peguam Negara.

“Kita sedang meneliti apa yang kita boleh bekalkan dan beri bantuan kepada mereka. Bukan semua yang mereka minta akan kita penuhi.

“(Begitu juga) apa-apa juga permohonan kita kepada Perancis, mereka kena bantu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, SPRM sudah pun membuka siasatan berhubung projek bernilai kira-kira RM692 juta itu sejak dua bulan lalu.

“Kami sudah lebih awal mulakan siasatan.”

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan Perancis sedang menyiasat skandal itu melibatkan projek MRT2 dengan tumpuan siasatan kepada sebuah syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes penipuan kerana memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dijalankannya.

Sumber memberitahu, siasatan yang sedang dijalankan itu mendedahkan senarai nama orang kenamaan termasuk seorang individu yang merupakan pembantu kanan bekas perdana menteri, termasuk seorang kerabat diraja.

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga syarikat Malaysia dipercayai berada di bawah radar penyiasat badan anti rasuah di Paris.