- Iklan -
Berita

Kluster mahkamah mahu halang Ismail jadi presiden Umno, kata Nazri Aziz

Menurut veteran Umno itu, rata-rata ahli parti menentang gesaan pemimpin tertentu untuk PRU diadakan lebih awal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Mohamad Hasan di pentas bersama pimpinan lain di konvensyen sempena ulang tahun ke-48 Barisan Nasional, bekas perdana menteri Najib Razak turut hadir memberikan ucapan. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Mohamad Hasan di pentas bersama pimpinan lain di konvensyen sempena ulang tahun ke-48 Barisan Nasional, bekas perdana menteri Najib Razak turut hadir memberikan ucapan. Gambar: Bernama

Tindakan kumpulan kluster mahkamah dalam Umno menangguhkan pemilihan parti bertujuan untuk menghalang perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dari menjadi presiden parti itu, kata veteran Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sejarah Malaysia menyaksikan individu yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri akan disahkan dalam perhimpunan agung Umno sebagai timbalan presiden.

“Hampir semua timbalan perdana menteri terdahulu dilantik sebagai timbalan perdana menteri dahulu, kemudian parti akan undi sebagai timbalan presiden.

“Ismail dipilih oleh ahli Parlimen kita sendiri menjadi perdana menteri, tak logik dia tak jadi presiden dalam parti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak yang mempunyai pelbagai pertuduhan berkait jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Nazri berkata, kepimpinan Umno sedia ada dijangka tewas sekiranya pemilihan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, ini kerana rata-rata ahli Umno tidak bersama-sama dengan kepimpinan dalam soal tarikh pilihan raya.

“Mereka tidak mahu pilihan raya awal. Mereka ini orang yang jujur yang terkesan dengan yang apa sedang berlaku.

“Kluster mahkamah dan mereka yang kalah pilihan raya sahaja yang mahu pilihan raya,” katanya.

Zahid dalam konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Ismail pula berkata pilihan raya perlu diadakan selepas BN benar-benar bersedia.

Umno baru-baru ini meminda perlembagaan dalam perhimpunan agung khas bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

Menurut Nazri, walaupun dia menyokong pindaan itu sekiranya ia dikehendaki majoriti, ia tidak boleh terus dilaksanakan.

“Tempoh 18 bulan akhir ini ialah untuk kita mengadakan pemilihan parti, bukan digunakan untuk membuat sesuatu yang tidak dibenarkan dalam perlembagaan parti sebelum ini.

“Ia untuk masa depan, bukan untuk memanjangkan tempoh pemegang jawatan.”

Pentadbiran Ismail berdepan cabaran harga barangan asas yang naik dan inflasi yang mampu menggugat kepercayaan orang ramai.

Justeru, Nazri berkata tidak wajar untuk diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, bekas menteri undang-undang itu berkata, sukar untuk gesaan mengadakan PRU15 lebih awal diterima.

Ini kerana cadangan membubar Parlimen perlu melalui beberapa tahap antara berbincang dengan ketua-ketua parti komponen dalam kerajaan, perbincangan bersama kabinet dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Pilihan raya tidak akan terjadi hanya kerana Umno yang mendesak agar Parlimen dibubar,” katanya.