- Iklan -
Berita

Kabinet minta jawatankuasa pilihan khas perhalusi RUU anti lompat parti

Jemaah menteri membangkitkan beberapa perkara mengenai draf RUU yang dibentangkan oleh peguam negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jemaah menteri membangkitkan dua perkara berhubung rang undang-undang (RUU) larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh jawatankuasa pilihan khas selepas dibentangkan pada mesyuarat Kabinet semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Peguam Negara Idrus Harun telah memberi penjelasan kepada jemaah menteri berkaitan pindaan Perlembagaan itu dan jemaah menteri tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

“Walau bagaimanapun, jemaah menteri membangkitkan dua perkara agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh jawatankuasa pilihan khas,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini, tanpa mendedahkan butiran mengenai perkara yang dibangkitkan.

Menurutnya, mengikut Peraturan 85 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, maklumat berhubung jawatankuasa pilihan khas tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia masih dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Memaklumkan bahawa RUU itu secara keseluruhannya diambil maklum oleh Kabinet, Wan Junaidi berkata persoalan yang dibangkitkan jemaah menteri akan dibawa kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen pada 7 Jun ini (2022) untuk diteliti, seterusnya memuktamatkan RUU tersebut.

Dilaporkan sebelum ini RUU itu dijangka dibentangkan seawal pertengahan Julai iaitu ketika Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kelima bermula 18 Julai.

Jika RUU itu dapat dibentang dan diluluskan pada sidang tersebut, ia boleh diwartakan seawal Januari tahun depan.