- Iklan -
Berita

BN berisiko jika tangguh pembubaran Parlimen, kata Najib

Beliau berkata BN mengalami kekalahan pertamanya apabila mengambil keputusan menangguhkan Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Barisan Nasional Najib Razak berucap ketika konvensyen bagi menyambut ulang tahun ke-48 gabungan itu semalam. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Barisan Nasional Najib Razak berucap ketika konvensyen bagi menyambut ulang tahun ke-48 gabungan itu semalam. Gambar: Bernama

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak berpandangan bahawa parti itu akan berdepan risiko jika masih menangguhkan pembubaran Parlimen.

Najib berkata perkara sama pernah dilakukan beliau yang menyaksikan sokongan kepada BN kian merosot dan akhirnya tewas buat kali pertama dalam sejarah parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Justeru itu, beliau tidak mahu nasib serupa menimpa BN yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada PRU15 memandangkan kerajaan sedia ada akan tamat tempohnya tahun depan.

“Bilakah PRU15 diadakan? Saya tak pasti tetapi saya nak kongsikan perkara ini buat pertama kali dan saya nak mengaku kita sepatutnya buat PRU14 selepas Sukan SEA 2017, dan kemungkinan BN boleh menang besar tetapi kita tangguh dan bila tangguh, keadaan berubah,” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan pimpinan parti komponen lain.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, berharap “Top Five Umno” akan berunding sebaiknya dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk PRU15 selain perlu memastikan Perdana Menteri dibantu untuk membuat keputusan dan pilihan tepat kerana risikonya terlalu tinggi.

Top Five merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail.