- Iklan -
Berita

Perniagaan nasi ayam Singapura terancam akibat larangan eksport Malaysia

Restoran dan penjaja di republik itu kini berdepan kenaikan harga sehingga ada yang menghentikan operasi kekurangan bekalan ayam.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjual menyediakan hidangan nasi ayam di sebuah gerai di Singapura pada 31 Mei. Singapura mengimport satu pertiga daripada bekalan ayamnya dari Malaysia, yang menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai bulan Jun. Gambar: AFP
Seorang penjual menyediakan hidangan nasi ayam di sebuah gerai di Singapura pada 31 Mei. Singapura mengimport satu pertiga daripada bekalan ayamnya dari Malaysia, yang menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai bulan Jun. Gambar: AFP

Singapura berdepan kekurangan bekalan hidangan nasi ayam selepas Malaysia yang menjadi pembekal utama bahan masakannya, menghentikan eksport ayam mulai hari ini.

Restoran dan gerai penjaja di republik itu kini berdepan kenaikan harga bahan makanan ruji dan ada yang menghentikan operasi kerana bekalan yang berkurangan dari Malaysia.

Larangan eksport Malaysia dilihat sebagai petanda kekurangan bekalan makanan global yang semakin meruncing ekoran beberapa faktor termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, cuaca ekstrem, dan gangguan bekalan berkait pandemik Covid-19 selain banyak negara yang mengambil langkah menambah bekalan domestik bagi menangani kenaikan inflasi makanan.

Kenaikan harga makanan asasi di peringkat global itu turut mencetuskan protes di Argentina, Indonesia, Greece dan Iran.

Pemilik gerai OK Chicken Rice Daniel Tan berkata larangan eksport Malaysia akan menjadi “musibah” bagi pemilik gerai sepertinya.

“Larangan eksport itu bermakna kami tidak lagi boleh menjual. Macam McDonald’s tak ada burger,” katanya.

Daniel turut menambah gerainya mendapatkan bekalan ayam hidup dari Malaysia bagi hidangan yang disediakan, namun kini terpaksa beralih menggunakan ayam beku bagi tempoh seminggu dan menjangkakan “jualannya akan terjejas teruk” kerana pelanggan akan merasai perubahan dalam kualiti hidangan yang disajikan kepada mereka.

Walaupun Singapura merupakan negara terkaya di Asia, dengan kawasan perbandaran bersaiz 730 km persegi, namun ia terpaksa bergantung dengan bahan makanan, tenaga dan barangan import.

Menurut data dari Agensi Makanan Singapura (SFA), hampir semua bekalan ayamnya diimport: 34% dari Malaysia, 49% dari Brazil dan 12% dari AS,

Hidangan nasi ayam sangat digemari 5.5 juta penduduk negara itu, ia boleh didapati di mana-mana bahagian negara itu dengan harga kira-kira S$4 (AS$2.92).

SFA berkata kekurangan bekalan ayam boleh diimbangi dengan eksport ayam beku dari Brazil, dan telah menggesa pengguna untuk memilih sumber protein lain seperti ikan.

Sementara itu, Malaysia juga berdepan kenaikan harga barangan di mana kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan eksport ayam sehingga pengeluaran tempatan stabil.

Harga komoditi itu juga dihadkan sejak Februari pada harga RM8.90 (AS$2.03) seekor dan subsidi sebanyak RM729.43 juta (AS$166 juta) juga turut diberikan kepada penternak ayam.

Malaysia mengimport makanan ayam yang biasanya terdiri daripada bijirin dan kacang soya.

Ekoran kekurangan bekalan, kerajaan perlu mempertimbangkan alternatif lain ketika seluruh dunia berdepan masalah bekalan makanan.

Bagi penternak ayam Syaizul Abdullah Syamil Zulkaffly, makanan berkualiti rendah melambatkan tumbesaran ayam yang kemudiannya boleh menjejaskan rantaian bekalan.

Sebelum ini, ternakan ayam daging Syaizul mampu menghasilkan pengeluaran sebanyak tujuh kali setahun, di mana 45,000 ekor bagi setiap pengeluaran.

Tahun ini dia menjangkakan hanya dapat menghasilkan lima kali pengeluaran.

Menurut Syaizul, dia mula menanggung kos operasi yang lebih tinggi semasa pandemik, mengatakan larangan eksport oleh kerajaan hanya akan memburukkan lagi situasi yang dihadapi penternak ayam.

“Saya tidak tahu sama ada industri ini dapat saya teruskan atau tidak… bagi lima atau 10 tahun akan datang,” katanya, sambil menambah bahawa dia terpaksa berhutang bagi menampung kos.

“Mungkin saya perlu pergi kerja di stesen minyak atau cari kerja yang lebih baik, kurang sakit kepala daripada menguruskan ternakan ayam.”