- Iklan -
Berita

Rampasan dadah metamfetamin di Asia Timur, Tenggara catat peningkatan, kata PBB

Rampasan metamfetamin hampir mencecah 172 tan di Asia Timur dan Tenggara pada 2021, kira-kira tujuh kali ganda berbanding sedekad lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut laporan PBB, ratusan tan metamfetamin dirampas sejak dua tahun lalu di Asia Timur dan Asia Tenggara. Gambar: AFP
Menurut laporan PBB, ratusan tan metamfetamin dirampas sejak dua tahun lalu di Asia Timur dan Asia Tenggara. Gambar: AFP

Rampasan metamfetamin di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara mencecah angka tertinggi dengan satu bilion pil pada tahun lepas, menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Dalam laporan bertema “Ubat Sintetik di Asia Timur dan Tenggara: Perkembangan dan Cabaran Terkini 2022”, UNODC memaklumkan pengedaran dadah sintetik terus berkembang di Asia Timur dan Tenggara, dengan pengeluaran dan dagangan mencapai rekod tertinggi tahun lepas.

Jumlah metamfetamin – hampir mencecah 172 tan berjaya dirampas di Asia Timur dan Tenggara pada 2021, kira-kira tujuh kali ganda berbanding sedekad lalu.

Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan membabitkan metamfetamin kristal, dengan rampasan sebanyak 79 tan berbanding 82 tan pada 2020 di Asia Timur dan Asia Tenggara tahun lepas, menurut laporan itu.

Wakil Serantau UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik Jeremy Douglas berkata sindiket jenayah terancang dan kumpulan bersenjata telah mengeksploitasi wabak dan ketidakstabilan politik di Segitiga Emas dan kawasan sempadan Myanmar bagi meningkatkan pengeluaran pada tahun lalu.

Beliau berkata walaupun hanya sedikit makmal dadah ditemui di luar Segitiga Emas, bekalan dadah terus meningkat.

“Skala dan jangkauan pengedaran dadah methamphetamine dan dadah sintetik di Asia Timur dan Tenggara adalah mengejutkan, dan akan terus berkembang jika rantau itu tidak menangani punca utama masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah Laos telah menjadi pusat transit utama untuk edaran ke Thailand dan bahagian lain di Mekong dan Asia Pasifik, dan Malaysia turut dijadikan transit secara meluas untuk pasaran Indonesia, Filipina, Jepun, Australia dan New Zealand.

Penganalisis Dadah Sintetik Serantau UNODC untuk Program SMART Global Kavinvadee Suppapongtevasakul berkata penurunan harga kristal methamphetamine amat membimbangkan kerana ia kini lebih mudah diakses dan tersedia kepada mereka yang tidak mampu membelinya sebelum ini.

“Kesan sosial daripada peningkatan penyalahgunaan dadah adalah ketara, dan perkhidmatan kesihatan serta agensi pemulihan dadah yang kekal terhad di seluruh rantau ini.

“Ia berkemungkinan akibat penyalahgunaan dadah telah dipandang remeh selama bertahun-tahun dan kebanyakan negara di rantau ini tidak memantau atau mengkaji permintaan dadah,” katanya.