Saturday, July 2, 2022

Pengimport Singapura gesa pelanggan beli ayam potong menjelang larangan eksport Malaysia

Pengimport sedang bersiap sedia bagi menyediakan bekalan ayam kepada pelanggan sebelum larangan itu berkuat kuasa esok.

Other News

Pengimport ayam di Singapura menggesa pembeli di negara itu untuk membeli ayam potong yang disediakan berbanding ayam bulat bagi berdepan larangan eksport ayam Malaysia yang bakal berkuat kuasa esok.

Strait Times melaporkan pengimport di negara itu sudah memulakan kerja-kerja persiapan lebih masa di mana beberapa syarikat menambah syif pekerja bagi kerja pemprosesan ayam sebanyak mungkin sebelum larangan bermula.

“Kami sedang bekerjasama dengan pelanggan dan minta mereka menukar cara pembelian kepada ayam potong bergantung bekalan yang disediakan,” kata James Sim dari Kee Song Food.

Pada 23 Mei, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan mulai Jun sehingga pengeluaran dan harga bahan makanan itu stabil.

Permit import (AP) bagi ayam bulat dan ayam potong pula akan dimansuhkan bagi meningkatkan peluang pengimport dalam negara menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Langkah itu diambil susulan keputusan Kabinet seminggu sebelumnya yang membatalkan AP bagi komoditi kobis, kelapa, ayam dan susu dalam usaha untuk mendapatkan bekalan makanan dan mengekang kenaikan harga.

Singapura sangat bergantung kepada Malaysia bagi bekalan makanan dalam negaranya, di mana kira-kira satu pertiga daripada import ayam republik itu adalah dari Malaysia pada 2021.

Malaysia juga mengeksport ayam ke negara lain termasuk Thailand, Jepun dan Hong Kong.

Menurut Straits Times, larangan itu dijangka menjejaskan rangkaian pasar raya, restoran, pasar basah, gerai makanan dan peruncit dalam talian di Singapura.

Waktu operasi juga turut dilanjutkan dalam perkhidmatan haiwan dan veterinar republik itu bagi menjalankan pemeriksaan ayam hidup di pusat pemeriksaan Tuas.

“Lebih banyak ayam masuk (ke Singapura) daripada biasa pada hujung minggu, kami membawa masuk kira-kira 30 hingga 40% lebih ayam setiap hari, tetapi jumlah itu sahaja yang dapat kami proses kerana keterbatasan masa dan tenaga kerja,” kata Sim, yang menjangkakan sebanyak 90% hingga 95% pendapatan mungkin terjejas bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles