- Iklan -
Berita

Pejuang tumpu PRU15, tidak terlibat cubaan tukar kerajaan, kata Mukhriz

Mukhriz berkata partinya tidak terlibat dalam dakwaan terbaru mengatakan Muhyiddin Yassin mendapat sokongan 119 ahli Parlimen untuk kembali menjadi perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir hari ini berkata parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

Beliau turut menegaskan parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaru bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri semula.

Beliau berkata sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

“Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar perdana menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

“Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya hari ini.

Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan) Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.