- Iklan -
Berita

MOT terbuka untuk disiasat berhubung dakwaan rasuah projek MRT

Menteri Pengangkuta Wee Ka Siong menjamin kementeriannya akan memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Projek MRT2 Titiwangsa sedang giat dibangunkan dalam gambar fail November 2020.
Projek MRT2 Titiwangsa sedang giat dibangunkan dalam gambar fail November 2020.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan Transit Aliran Massa (MRT).

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memberikan kerjasama dan sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan serta tidak menyokong sebarang elemen penyelewengan dalam mana-mana projek berkaitan kementerian itu.

“Saya mengikuti perkembangan ini. Saya tiada masalah jika ada pihak mahu siasat. MRT (Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd) juga telah nyatakan kesediaan mereka untuk disiasat jika dakwaan itu berlaku.

“Mana-mana pihak yang terlibat akan dikenakan tindakan jika ada aduan dibuat, biar pihak berkuasa siasat. Kita utamakan urus tadbir yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya dan Apresiasi 76 Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini.

Wee turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan sehingga siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah melibatkan projek MRT bernilai RM692 juta yang berlaku beberapa tahun lepas.

Selain itu, Wee menasihatkan semua syarikat penerbangan di negara ini agar tidak mengambil mudah dengan rungutan pelanggan mengenai isu kelewatan sehingga mereka terpaksa menunggu lama di lapangan terbang dan menjejaskan urusan masing-masing.

“Saya minta syarikat penerbangan lihat semula jadual penerbangan, tingkatkan hubungan komunikasi dengan pelanggan dengan makumkan lebih awal tentang penjadualan semula penerbangan.

“Kalau pengguna dimaklumkan awal, ini tidak akan jejaskan urusan mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kelewatan penerbangan yang tular di media sosial pada perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Tegasnya, beliau tidak mahu kelewatan penerbangan menjadi budaya berterusan hingga menjejaskan nama syarikat penerbangan terbabit.

Mengenai laporan terdapat sindiket tonto yang berperanan sebagai pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas penguatkuasaan undang-undang oleh JPJ, Wee berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya berdiri teguh di belakang JPJ dan sentiasa beri sokongan bagi menentang sebarang tekanan yang diterima. Kita (negara) ada pasukan polis yang cekap,” katanya mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan baru-baru ini bahawa polis menerima lima laporan sejak tahun lepas hingga bulan ini berhubung aktiviti tonto tersebut.