Monday, July 4, 2022

‘Cerita sedih’ trend baru ‘pancing’ majikan ambil bekerja?

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia mengingatkan supaya majikan mengambil pekerja berdasarkan kemahiran, menyifatkan cara mencari kerja sedemikian sebagai tidak wajar.

Other News

Satu trend baru mula dikesan di beberapa platform media sosial termasuk laman komunikasi korporat dan profesional seperti LinkedIn di mana beberapa individu menggunakan “cerita sedih” untuk menarik perhatian bakal majikan.

Perkembangan ini mula dilihat berlaku di Malaysia sejak ekonomi semakin pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Sektor-sektor ekonomi yang mula aktif beroperasi selepas lama disekat, menyebabkan majikan mula mencari pekerja dan penganggur pula memburu kerja dan jawatan.

Namun bukan dengan menghantar emel dan profil kerjaya, sebaliknya mereka bertindak membuat hantaran berkongsi kisah peribadi seperti kemurungan, sukar mencari kerja, permohonan ditolak dan ada juga yang menyatakan masalah rumahtangga seperti isteri keguguran dan mahu menggembirakan hatinya dengan mendapatkan pekerjaan baru.

Semua kisah-kisah yang “menyentuh” perasaan pembaca itu bagaimanapun tidak dapat disahkan kebenarannya.

Ini kerana motifnya dilihat seperti untuk meraih simpati majikan supaya mengambil mereka bekerja.

Tidak berhenti di situ, individu-individu ini juga meminta majikan supaya menghubungi mereka sekiranya berminat untuk mengambilnya bekerja dalam syarikat.

Mengulas trend ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman menyifatkan teknik pemujukan dan raih simpati untuk mendapatkan kerja sebagai sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

Ini memandangkan proses pengambilan pekerja adalah berdasarkan kepada keperluan majikan, kelayakan dan kemahiran yang dipunyai oleh individu berkenaan.

Bukan itu sahaja, katanya, ianya juga bagi memastikan pekerja yang diambil bekerja dapat memenuhi guna tenaga yang diperlukan dan memastikan pekerja berkenaan dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta daya saing majikan berkenaan.

Menurut Syed Hussain, trend pemohon kerja yang menggunakan teknik raih simpati sangat tidak sihat untuk diamalkan dan majikan tidak seharusnya terpikat dengan kaedah tersebut.

Katanya, dalam usaha mendapatkan pekerjaan, adalah amat penting untuk pemohon menunjukkan potensi diri yang sebenar dan sentiasa berterusan membina watak yang positif.

“Memang bukan mudah seseorang itu boleh berjaya untuk mendapat kerja yang sesuai terutamanya dalam keadaan ekonomi yang sedang dalam proses pemulihan pada masa ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Hakikat ini tidak seharusnya melunturkan pencari kerja untuk terus mencuba dan sentiasa untuk memperbaiki jati diri.

“Perjalanan untuk mencari dan mendapat kerja yang sesuai memang penuh cabaran, tetapi ini bukan bermakna pencari kerja harus mudah mengalah.”

Sementara itu, tinjauan dalam talian mendapati trend menggunakan kisah sedih dan menyentuh perasaan kepada majikan sudah mula dikesan di luar negara sejak lima tahun lalu.

Beberapa majikan meluahkan rasa tidak senang dalam aplikasi Quora, satu medium untuk golongan profesional bertukar pengalaman dan pengetahuan.

Di situ, beberapa majikan mengakui berdepan pemohon kerja yang berkongsi kisah sedih dalam sesi temuduga.

Salah seorang bertanya: “Ada seorang hadir temuduga menangis dan bercerita tentang masalah (kesihatan) keluarganya. Atas sebab itu, dia sangat memerlukan kerja. Tetapi, semakan mendapati dia tidak layak untuk jawatan tersebut.”

Hantaran itu mendapat perhatian banyak pihak dengan lebih 300 responden.

Rata-rata mereka menasihati supaya tidak terpikat dengan kisah berkenaan dan lebih memikirkan tentang kualiti bakal pekerja.

Tambahan pula, kelayakannya tidak memenuhi keperluan syarikat hanya akan menyebabkan pekerja itu mungkin dipecat di kemudian hari.

Dalam pada itu, MalaysiaNow menghubungi seorang pengguna LinkedIn, Mohd Adib Sofwan membuat hantaran beliau perlu mendapatkan kerja dalam kadar segera kerana tarikh lahir anak sulungnya makin dekat dan beliau masih belum mendapat pekerjaan.

Hantaran yang dibuat kira-kira pada dua minggu lalu menerima banyak reaksi daripada pengguna laman tersebut.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Adib memberitahu ramai pihak yang membantunya untuk mendapatkan kerja selepas hantaran tersebut disiarkan.

Ketika ditanya, apakah yang mendorongnya untuk membuat hantaran berbaur peribadi untuk mendapatkan pekerjaan, Adib menjelaskan ianya adalah satu langkah terakhir dalam memburu pekerjaan selepas 1001 usaha yang dicubanya tidak berjaya.

Pelbagai cara sudah diusahakan seperti mencari kerja di laman cari kerja, agensi pekerjaan bahkan juga pergi ke pintu-pintu pejabat sekiranya memerlukan pekerja.

Adib memiliki pengalaman kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama lima tahun.

“Persaingan cari kerja memang hebat, namun peluang lebih tinggi jika kita dapat menarik minat hiring manager secara terus.

“Jadi resume saya adalah yang pertama mereka review berbanding dari laman web cari kerja,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau baru mendapat satu tawaran kerja secara lisan tanpa surat tawaran secara rasmi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles