- Iklan -
Berita

Bapa didakwa di mahkamah selepas biarkan anak keluarkan badan dari kereta

Bagaimanapun T Vengadasalabathi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan dedah anak kepada bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ejen insuran T Vengadasalabathi diiring di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Gambar: Bernama
Ejen insuran T Vengadasalabathi diiring di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Gambar: Bernama

Pemandu kereta yang tular menerusi video memaparkan aksi bahaya tiga orang kanak-kanak mengeluarkan separuh badan dari tingkap kenderaan itu ketika bergerak di jalan raya, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

T Vengadasalabathi, 37, bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Tambun, Ipoh antara pukul 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac lepas.

Dia dituduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun itu telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan mendekati mangsa.

Bagaimanapun peguam K. Nahtan memohon jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans berpendapatan hanya RM2,000 dan perlu menanggung ketiga-tiga anak serta isteri selain tinggal bersama ibu bapa yang berusia 67 dan 72 tahun.

Nahtan turut merayu atas larangan mendekati ketiga-tiga anak itu kerana ia bukan melibatkan kes dera atau jenayah seksual malah Vengadasalabathi adalah bapa kandung mereka.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 24 Mac lepas, lelaki itu ditahan di Sunway City selepas polis mengesan video berdurasi seminit dua saat itu di laman Facebook yang memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya tersebut dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya.