Monday, July 4, 2022

Apandi fail rayuan berhubung keputusan mahkaman tolak saman fitnah terhadap Kit Siang

Notis rayuan bekas peguam negara itu difailkan pada 24 Mei lalu.

Other News

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkan beliau terhadap Lim Kit Siang.

Peguam M. Visvanathan yang mewakili Apandi ketika dihubungi berkata notis rayuan difailkan pada 24 Mei.

Beliau juga berkata notis itu juga telah disampaikan kepada peguam cara Lim.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lim ketika dihubungi mengesahkan telah menerima notis rayuan itu.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Apandi terhadap veteran DAP itu.

Apandi menyaman Lim pada 5 Julai 2019 kerana mendakwa Lim telah memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam penyataan tuntutannya beliau mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara.

Apandi yang menyandang jawatan peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas peguam negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar dalam keputusannya menolak saman itu memutuskan bahawa Lim berjaya mewajarkan keistimewaan yang layak dimilikinya apabila membuat kenyataan itu kerana skandal 1MDB melibatkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.

Beliau juga memerintahkan Apandi membayar kos RM80,000 kepada Lim.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles