Saturday, July 2, 2022

Suki dan bapa tak menang tangan ramai datang ziarah

Wong Kon Foo yang kini dapat mendaftar anak perempuannya ke tadika swasta menyuarakan penghargaan mereka kepada semua yang rakyat Malaysia yang membantu mereka berdua.

Other News

Kanak-kanak cilik Suki Wong Pei Yee dan bapanya kini dihujani bantuan daripada rakyat Malaysia, namun kerana terlalu ramai yang menziarahi, menyebabkan mereka dengan rendah hati memohon supaya diberi ruang kerana bimbang keadaannya yang tidak sihat sebagai seorang pesakit angin ahmar.

Kisah kanak-kanak berusia 10 tahun yang menjaga bapanya sendirian selepas kematian ibu menular luas telah mengundang ramai menghulurkan bantuan baik dari segi wang tunai, makanan dan pakaian.

Walaupun MalaysiaNow tidak menggalakkan orang ramai menziarahi mereka, selain tidak mendedahkan butiran keluarga itu walaupun ketika didekati beberapa individu terkenal, pelawat masih terus menziarahi sehingga mengganggu jadual dan ada waktunya, mereka berdua terpaksa berjaga lewat dan tidak cukup tidur pada waktu malam.

“Takkan saya nak halau mereka sebab niat mereka baik.

“Saya hanya layan mereka sebagai tetamu, tetapi ada satu tahap Suki sampai tak cukup tidur,” kata Wong Kon Foo kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, dia sangat berterima kasih dan menghargai semua yang menghulurkan bantuan kepada mereka penuh ikhlas, mengatakan kini sudah mendaftarkan Suki di sebuah tadika swasta di Petaling Jaya dan akan mula menghadiri kelas minggu ini.

“Justeru, duit yang saya terima ini saya bercadang untuk membeli barangan berkaitan pendidikan seperti alat tulis, pakaian dan sebagainya.”

Kisah Suki mengundang pelbagai pertanyaan dan tawaran bantuan daripada ramai rakyat Malaysia yang budiman, sehingga petisyen dalam talian dilancarkan bagi menggesa kerajaan memberikan kerakyatan kepadanya.

MalaysiaNow juga difahamkan sekumpulan peguam yang pakar dengan kes warganegara tanpa kerakyatan turut memberikan khidmat mereka secara pro bono bagi mendapatkan kerakyatan Suki.

Wong yang meluahkan rasa bimbang terhadap masa depan Suki kerana anak tunggalnya itu tiada pendidikan dan tidak pernah hadir ke sekolah mengatakan dia terhutang budi dengan sikap prihatin orang ramai yang terus menyalurkan bantuan kepada keluarganya.

“Melayu, Cina dan India, semua datang beri bantuan duit dan barangan keperluan.”

“Bantuan yang saya terima cukup banyak sampai satu tahap saya tidak lagi risau akan kelaparan dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles