- Iklan -
Berita

Reman anak bekas diplomat kes tanam ganja dilanjutkan 5 hari lagi

Bagaimanapun, bapanya yang turut ditahan Selasa lalu dibebaskan pada Sabtu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis berjaya memperoleh reman kali kedua bagi siasatan kes penanaman 102 pokok ganja terhadap anak bekas diplomat berusia 53 tahun itu bermula esok hingga 4 Jun ini. Gambar: AFP
Polis berjaya memperoleh reman kali kedua bagi siasatan kes penanaman 102 pokok ganja terhadap anak bekas diplomat berusia 53 tahun itu bermula esok hingga 4 Jun ini. Gambar: AFP

Reman anak lelaki bekas diplomat yang didakwa menanam ganja di Janda Baik, Bentong yang tamat hari ini, dilanjutkan lima hari, kata Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar.

Beliau menerusi kenyataan ringkas hari ini, mengesahkan polis berjaya memperoleh reman kali kedua bermula esok hingga 4 Jun ini.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan penahanan seorang bekas diplomat berstatus “Datuk” pada 21 Mei lepas, kerana disyaki menanam ganja di sebuah kampung di Janda Baik.

Pada serbuan itu, polis menemukan 102 pokok disyaki ganja yang dikatakan rampasan ganja terbesar dalam negara setakat ini.

Penahanan bekas diplomat berusia 78 tahun itu seterusnya membawa kepada penahanan anak lelakinya berusia 53 tahun pada Isnin lepas, di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, bekas diplomat itu dibebaskan pada Sabtu lepas, selepas polis gagal memperoleh reman kali kedua daripada Mahkamah Majistret Bentong.

Siasatan dijalankan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.